Friday, September 20, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hun bagai kacang lupakan kulit

    Pelakon Malaysia, Hun Haqeem diminta membayar ganti rugi sebanyak RM613,950 kepada Metrowealth International Group (MIG) susulan melanggar kontrak bersama syarikat berkenaan tiga tahun lalu.

    Perkara tersebut dimaklumkan oleh pengarah urusan MIG, David Teo selepas Mahkamah Rayuan Shah Alam membuat keputusan memihak kepada syarikat itu pada 27 November 2023.

    “Rayuan yang difailkan berpihak kepada kami dan Hun diarahkan membayar ganti rugi berjumlah RM613,950 dengan syarat kami tampilkan bukti kos kerugian.

    “Dia juga diminta membayar kembali wang berjumlah RM30,240 iaitu bayaran tunggakan kepadanya yang pernah kami bayar sebelum ini,” katanya kepada mStar.

    Menurut David, Mahkamah Sesyen yang mendengar kes tersebut sebelum ini mengetepikan kes pelanggaran kontrak pelakon berkenaan dan MIG perlu membayar baki tunggakan terbabit kepada Hun.

    Bagaimanapun, MIG mengemukakan rayuan yang memperlihatkan keputusan berpihak kepada syarikat tersebut.

    Hun atau Haqeem Hermy, 26, sebelum ini didakwa melanggar kontrak perkhidmatan selama lima tahun bersama MIG.

    Ia susulan Hun bertindak keluar daripada pengurusan MIG ketika kontraknya masih berbaki dua tahun.

    Sementara itu, David memberitahu dia bertegas dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap Hun kerana menyifatkan pelakon itu sebagai lupa diri ketika namanya berada di puncak populariti.

    “Dia sudah tanda tangan kontrak, jadi dia tetap salah. Dia keluar ketika nama sedang meletup. Bagai kacang lupakan kulit.” – Agensi

    Hun (kanan) diperintah bayar ganti rugi kepada syarikat MIG. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda