Friday, September 20, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hun Haqeem dedah punca hilang 10 kilogram

    Pelakon Hun Haqeem berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 10 kilogram demi menjayakan peranan dalam drama bersiri adaptasi dari Korea Selatan berjudul W: Two Worlds.

    Hun atau Haqeem Hermy, 26, berkata, dia mengambil masa tiga bulan untuk mencapai sasaran itu dengan menjaga pemakanan selain bersenam secara kerap di gimnasium.

    Pelakon ini memberitahu berat badannya sebelum ini 80 kilogram dan kini mencapai angka 70 kilogram seperti dimahukan.

    “Saya diminta produksi untuk turunkan berat badan bagi penggambaran drama bersiri W: Two Worlds.

    “Sejak tiga bulan lalu saya mula disiplinkan diri dengan menjaga pemakanan dan bersenam di gimnasium apabila mempunyai masa terluang.

    Hun Haqeem menurunkan berat badannya demi menjayakan peranan dalam drama bersiri adaptasi dari Korea Selatan tersebut. – Agensi

    Kalau tak sempat ke gimnasium, saya akan pastikan banyak berjalan dan kekal aktif seperti parkir kereta lebih jauh agar saya dapat berjalan,” katanya kepada mStar.

    Hun berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran gimnasium seni mempertahankan diri milik pelakon Andy Teh iaitu Elitez Mixed Martial Artis yang terletak di Shah Alam pada Sabtu.

    Dalam pada itu, Hun memberitahu dia akur dengan permintaan pengarah, Datuk Yusry Abdul Halim yang ingin dia menurunkan berat badan agar lebih sesuai dengan wataknya.

    Meskipun ia cabaran sukar namun Hun berkata, dia mengambil semangat idolanya iaitu pelakon Christian Bale yang turut melakukan perkara sama untuk filem lakonannya.

    Anak jati Kuching, Sarawak ini memberitahu proses menurunkan berat badan tidak sesukar dibayangkan memandangkan dia mempunyai pengalaman melakukan perkara sama sebelum ini.

    Dedah Hun, berat badannya sebelum ini mencecah 102 kilogram dan pernah melalui cabaran lebih perit untuk mendapat berat badan ideal. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda