Pelakon Malaysia, Hun Haqeem, 26, kini menjadi ‘pencinta’ permainan Mobile Legend (ML) dan aktif sebagai ‘kaki game’ selepas membintangi filem Game Of Life untuk watak Soloz.
Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy berkata, dulu dia bukanlah seorang ‘kaki game’ seperti sekarang kerana lebih gemar mengisi masa dengan aktiviti membaca buku.
“Saya tak main ‘game’ dulu dan suka baca buku. Tapi, sekarang dah berubah dengan hobi main ML dengan beberapa ahli kumpulan lain. Memang saya dah seronok main sebab ia juga sebagai interaksi dengan kawan-kawan.
“Sebelum itu, saya berlatih main ML kira-kira enam bulan sebelum masuk ke set penggambaran filem Game Of Life untuk membiasakan diri dan bentuk minat sebagai ‘kaki game’.
“Apatah lagi, saya pula diberi tanggungjawab sebagai watak Soloz yang memang sangat terkenal dan satu nama besar pada kalangan gamers hingga dipanggil dengan gelaran maharaja,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya juga mengenai pertemuannya dengan Soloz, pelakon drama Kampung People sebagai Jekfer ini berkata, dia sudah berjumpa dengan lelaki itu yang disifatkan individu sangat berbudi bahasa, berbakat dan merendah diri.
Menurut Hun, dia juga kagum dengan Soloz kerana mampu mengimbangi masa dengan baik antara aktif main ‘game’, jaga solat dan tanggungjawab sebagai anak serta suami dalam keluarganya.
“Saya dapati Soloz selalu ingatkan pengikutnya agar aktif main games boleh, tetapi jangan sesekali tinggalkan solat. Itu yang dilakukannya dengan sangat menjaga ibadah solat.
“Harapan saya untuk filem Game Of Life ini agar ia mendapat sambutan baik pada tayangan di pawagam nanti. Saya juga bersikap terbuka dengan apa saja pandangan dan komen daripada penonton,” katanya. – Agensi