Monday, May 12, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hun sanggup berpanas demi jayakan watak

    Melakonkan watak sebagai Kadir yang mempunyai saiz badan gempal antara cabaran terbesar dihadapi pelakon Hun Haqeem ketika menjayakan drama berjudul Hantu Raya Pergi Perang yang ditayangkan di aplikasi Sooka.

    Hun, 24, berkata, bagi menjayakan karakter itu, dia perlu memakai sut khas bagi memberi ilusi badan gempal yang bukan sahaja tebal tetapi panas.

    “Drama ini sangat mencabar kerana saya perlu mainkan dua watak berbeza. Tidak hanya itu, saya juga perlu pakai sut yang tebal dan berat.

    “Dalam sehari saya kena tukar lima atau enam kali pakaian untuk dua watak tersebut.

    “Bayangkan dalam keadaan cuaca panas dan pakaian yang tebal, ia bukan sesuatu yang mudah. Badan saya berpeluh tetapi itulah yang membuatkan watak saya nampak lebih real dan sut itu membantu saya menjiwai watak diberikan,” katanya kepada media.

    Hun berkata, bagi menjayakan watak Kadir itu, dia perlu memakai sut khas bagi memberi ilusi badan gempal yang bukan sahaja tebal tetapi panas. – Agensi

    Hun ditemui ketika majlis pelancaran drama tersebut sekaligus meraikan sambutan ulang tahun pertama aplikasi Sooka yang berlangsung di RexKL baru-baru ini.

    Dalam pada itu, apa yang membuatkan Hun sanggup mengharungi pelbagai cabaran menjayakan watak Kadir adalah kerana percaya dengan kredibiliti hasil kerja dua pengarahnya, Wan Hasliza dan Wan Alak.

    Hun berkata, gabungan kedua-dua pengarah itu membuatkan dia tidak berfikir panjang menerima tawaran berlakon dalam Hantu Raya Pergi Perang kerana ia bukan sekadar drama bergenre komedi seram tetapi banyak mesej baik disampaikan.

    “Rasanya sesiapa sahaja yang pernah bekerjasama dengan mereka (Wan Haliza dan Wan Alak) akan cakap perkara sama. Saya amat percaya dengan kredibiliti mereka. Apabila membaca skrip saya sudah jatuh cinta dan akan terus terima kalau diberi tawaran.

    “Mungkin komedi yang saya bawakan ada sedikit persamaan dalam drama sebelum ini. Namun jalan cerita dan mesej yang ingin disampaikan berbeza. Setiap watak yang dibawakan oleh semua pelakon memainkan peranan tersendiri,” jelasnya. Drama lapan episod terbitan KL Motion ini memaparkan kisah masyarakat yang masih mempunyai kepercayaan kuat terhadap legenda hantu dan cerita rakyat Malaysia.

    Ia merupakan kandungan eksklusif pelan Sooka di bawah VIP Entertainment dan mula ditayangkan pada 24 Jun lalu.

    Sementara itu, Ketua Program Sooka, Emarina Kamal berkata, penghasilan drama ini juga merupakan satu eksperimen untuk menilai selera semasa penonton di Malaysia sebelum mereka tampil dengan lebih banyak kandungan berkualiti pada masa hadapan.

    Hantu Raya Pergi Perang merupakan drama ketiga kandungan original Sooka selepas Love In Lockdown dan London With Love. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda