PHNOM PENH, 2 Ogos – Perdana Menteri kemboja, Hun Sen berkata pihak pembangkang telah gagal untuk memboikot pilih raya ketika dia meraikan kemenangannya yang ‘jelas’ dalam pilihan raya semasa berucap kepada ribuan pekerja kilang pembuat pakaian, hari ini.
Parti Hun Sen, Parti Rakyat Kemboja (CPP) dijangka akan memenangi kesemua 125 kerusi di parlimen selepas pilihan raya yang menyaksikan pemimpin kuat itu melanjutkan pemerintahannya selama 33 tahun, mengukuhkan kedudukan negara itu sebagai sebuah negara satu parti. Tokoh pembangkang telah menuntut untuk memboikot pilihan raya dengan kempen yang digelar ‘tidur di rumah’ atau ‘jari bersih’ selepas pesaing pilihan raya yang paling berpengaruh dari Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP), dibubarkan tahun lalu dan dihalang untuk bertanding.
“Kempen ‘tidur di rumah’ telah gagal dan lebih daripada 82 peratus rakyat Kemboja di seluruh negara memilih untuk mengundi, ia menunjukkan bahawa rakyat Kemboja kami menyokong proses demokrasi,” katanya kepada sekumpulan 14,000 pekerja dalam ucapan pertamanya sejak pilihan raya itu. “Jelas sekali bahawa Perdana Menteri kerajaan yang akan datang adalah Hun Sen lagi,” katanya sambil diberi tepukan gemuruh. – AFP