PHNOM PENH, 3 SEPT – Bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen kembali aktif di laman sosial Facebook selepas mendakwa gergasi media sosial itu telah memberi keadilan kepadanya dengan tidak menggantung akaunnya selepas beliau menyiarkan ugutan ganas di platform.
Dalam satu catatan, Hun Sen berkata Facebook telah menolak cadangan daripada Lembaga Pemantauan untuk menggantung akaunnya selepas beliau menyiarkan video yang mengancam untuk membelasah pesaingnya.
Ia adalah perubahan terbaharu sejak beberapa bulan lalu yang menyaksikan pengguna prolifik itu keluar dari laman media sosial paling popular di Kemboja, menutup akaunnya dan mengancam untuk mengharamkan platform berkenaan.
“Saya telah memutuskan untuk menggunakan Facebook sekali lagi selepas Facebook menolak cadangan sekumpulan orang jahat dan memberikan keadilan kepada saya,” tulisnya hari ini, merujuk kepada Lembaga Pemantauan.
Halaman Facebook milik Hun Sen popular dengan kira-kira 14 juta pengikut diaktifkan semula pada Julai lalu, namun ia dikendalikan oleh pembantu media sosialnya pada masa itu.
Syarikat induk Facebook Meta tidak menjawab permintaan AFP untuk komen.
Perbalahan itu bermula Jun lalu apabila Lembaga Pemantauan platform mengesyorkan agar akaun Facebook dan Instagram Hun Sen digantung selama enam bulan kerana video yang disiarkannya pada Januari.
Dalam klip itu, Hun Sen memberitahu pihak lawan mereka akan berdepan tindakan undang-undang atau dipukul dengan kayu jika mereka menuduh partinya mencuri undi ketika pilihan raya pada Julai. – AFP
