Saturday, February 8, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hungary rancang haramkan NGO terima dana AS

    BUDAPEST, 7 FEB – Hungary merancang untuk mengharamkan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang menerima dana dari Amerika Syarikat (AS), kata Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, hari ini.

    Orban, salah seorang sekutu terdekat Trump di Kesatuan Eropah (EU), memuji langkah presiden untuk melumpuhkan aktiviti agensi kemanusiaan kerajaannya USAID.

    “Semua wang yang datang dari Amerika harus diisytiharkan dan mereka yang menerimanya harus disekat. Wang dari luar negara tidak boleh diterima untuk mempengaruhi politik Hungary,” kata Orban dalam wawancara mingguannya dengan radio negeri.

    Pemimpin nasionalis itu telah lama menuduh penentang politik, NGO dan saluran media berkhidmat untuk kepentingan asing, dan menggelar wang USAID sebagai alat pengaruh politik.

    USAID, cabang bantuan dasar luar AS, membiayai program kesihatan dan kecemasan di kira-kira 120 negara, termasuk wilayah termiskin di dunia.

    Orban berkata NGO Hungary yang menerima dana daripada USAID secara khusus menyokong isu yang dikaitkan dengan parti berhaluan kiri dan dibiayai untuk menjatuhkan kerajaan.

    “Sekarang tiba masanya untuk menghapuskan rangkaian antarabangsa ini, untuk menyingkirkan dan menjadikannya sebagai tidak wujud,” katanya.

    Pihak pemerintah meluluskan undang-undang pada 2017 yang menyasarkan NGO menerima pembiayaan dari luar negara, tetapi terpaksa memansuhkannya selepas notis rasmi daripada EU. – AFP

    Orban tiba untuk sidang kemuncak EU di Istana Egmont di Brussels, pada 3 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda