Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hurikan Delta badai Mexico

    CANCUN, MEXICO, 7 OKT – Hurikan Delta membadai pantai Caribbean Mexico awal hari ini membawa angin dengan kelajuan maksimum 175 kilometer sejam, kata ahli kaji cuaca Amerika Syarikat (AS).

    Delta melanda Semenanjung Yucatan berhampiran bandar Puerto Morelos sebagai ribut kategori 2, kata Pusat Hurikan Nasional.

    Ribuan pelancong telah berlindung di pusat kecemasan di beberapa resort pantai apabila ribut menghampiri dengan membawa ancaman banjir teruk. Hurikan itu dikurangkan kepada Kategori 3 apabila ia mendekati semenanjung. Semalam, ia telah mencecah status Kategori 4 yang ‘amat berbahaya.’

    Ia melanda pantai Riviera Maya, Mexico, yang merupakan tempat terletaknya bandar resort pelancong utama termasuk Cancun, walaupun jumlah pelawat telah berkurangan disebabkan pandemik koronavirus.

    Pada malam semalam, jalan raya Cancun kebanyakannya lengang, kedai ditutup dan tingkap dipasang dengan kepingan kayu untuk mengelak daripada pecah, menurut wartawan AFP.

    Lebih daripada 40,000 pelancong di Cancun dan resort berhampiran telah dipindah, beritahu ketua persatuan hotel kawasan itu, Roberto Citron kepada AFP.

    Di Cancun sahaja, lebih daripada 160 pusat perlindungan telah didirikan sebagai persediaan menghadapi hurikan tersebut. – AFP

    Bot ditambat oleh nelayan berhampiran pantai sebagai persiapan dalam menghadapi ketibaan Hurikan Delta di Puerto Juarez, Cancun, Mexico pada 6 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda