Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hutan Amazon Brazil hilang lebih 40 hektar dalam 40 tahun

    RIO DE JANEIRO, 16 SEPT – Hutan hujan Amazon di Brazil telah berkurangan dengan keluasan sebesar Sepanyol dalam tempoh empat dekad dan kini menghampiri titik kritikal berbahaya, menurut data pemantauan yang dikeluarkan pada Isnin.

    Amazon sedang menuju ke arah ‘titik tanpa kembali’ dengan kehilangan 20 hingga 25 peratus vegetasi, yang mana ia “tidak lagi mampu mengekalkan dirinya sebagai hutan hujan,” kata seorang penyelidik di platform pemantauan MapBiomas, Bruno Ferreira.

    Tambahnya, “Apabila terlalu banyak vegetasi hilang, kitaran hujan akan terganggu dan kawasan yang luas cenderung berubah menjadi savana yang lebih kering.”

    Brazil, yang akan menjadi tuan rumah persidangan iklim PBB COP30 di bandar Amazon Belem pada November ini, menempatkan 60 peratus hutan hujan yang merentasi sembilan negara.

    Gambar fail sekumpulan lembu berada berhampiran kawasan hutan terbakar di Amazon, negeri Para, Brazil, pada 25 Ogos 2019. – AFP

    Gambar satelit yang dikaji oleh MapBiomas turut menunjukkan kehilangan 49.1 juta hektar hutan antara tahun 1985 hingga 2024.

    Jika jenis tumbuhan lain turut diambil kira, Amazon telah kehilangan 13 peratus daripada vegetasi asalnya dalam tempoh tersebut, menurut data tersebut.

    MapBiomas berkata, penternakan turut meningkat hampir lima kali ganda dalam tempoh kajian.

    Kadar pembalakan hutan telah menunjukkan pengurangan selepas Presiden Luiz Inacio Lula da Silva kembali memegang jawatan pada tahun 2023.

    Namun, kemarau bersejarah yang mencetuskan kebakaran hutan di rantau itu telah menyebabkan peningkatan empat peratus dalam kadar pembalakan hutan antara Ogos 2024 hingga Julai tahun ini. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda