Sunday, April 20, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hutan Amazon terbakar

    PORTO VELHO, BRAZIL, 25 OGOS – Brazil hari ini mengerahkan dua pesawat Hercules C-130 untuk memadamkan kebakaran yang memusnahkan sebahagian hutan hujan Amazon, ketika ratusan kebakaran baharu menyala menjelang bantahan seluruh negara berhubung kemusnahan tersebut.

    Asap tebal meliputi bandar Porto Velho di negeri barat laut Rondonia di mana kementerian pertahanan berkata pesawat-pesawat mula menjatuhkan ribuan liter air, di tengah-tengah keberangan global berhubung kebakaran paling buruk dalam masa bertahun-tahun.

    Sebahagian besar kawasan di rantau terpencil bersempadan Bolivia telah terbakar, mengakibatkan asap tebal menyelubungi ruang langit sehingga menambah lagi pencemaran udara di seluruh hutan hujan terbesar di dunia itu.

    Para pakar berkata pembersihan tanah yang dijalankan semasa musim kering berbulan-bulan lamanya untuk memberi ruang bagi penanaman atau padang ragut telah memburukkan lagi masalah itu tahun ini.

    “Ia semakin menjadi teruk setiap tahun – tahun ini, asap semakin menjadi-jadi,” kata Deliana Amorim, 46, memberitahu AFP di Porto Velho tempat setengah juta orang tinggal.

    Pemandangan dari udara menunjukkan kawasan hutan hujan Amazon yang terbakar, dekat Porto Velho, negeri Rondonia, Brazil pada 24 Ogos. – AFP

    Kira-kira tujuh negeri, termasuk Rondonia, telah meminta bantuan tentera di Amazon, di mana lebih 43,000 askar ditempatkan dan menangani memadam kebakaran, kata para pegawai.

    Kebakaran telah mencetuskan keberangan global dan menjadi tajuk utama kebimbangan pada mesyuarat G7 di Biarritz di selatan Perancis.

    Para pemimpin dunia di sidang kemuncak itu telah bersetuju untuk membantu negeri-negeri yang terjejas akibat kebakaran itu ‘secepat mungkin’, kata Presiden Perancis, Emmanuel Macron hari ini.

    Ucapannya muncul di tengah-tengah perang mulut antara rakan sejawatannya Brazil, Jair Bolsonaro, yang dituduhnya menipu berhubung pendirian Brazil ke atas perubahan iklim.

    Jumlah rasmi terbaharu menunjukkan 79,513 kebakaran hutan telah dicatat di Brazil tahun ini, jumlah tertinggi bagi mana-mana tahun sejak 2013.

    Lebih separuh kebakaran itu terjadi di lembangan besar Amazon, tempat tinggal lebih 20 juta orang. Kira-kira 1,130 kebakaran baharu tercetus antara Jumaat dan Sabtu, menurut Institut Kebangsaan Penyelidikan Angkasa Brazil.

    Data baharu itu muncul ketika para pembantah merancang mengadakan perhimpunan di jalan-jalan seluruh Brazil hari ini, selepas ribuan mengadakan bantahan di negara itu dan di Eropah pada Jumaat. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda