Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hutan bakau harta karun pemancing

    Oleh Raz AS –

    Negara kita merupakan sebuah negara yang kaya dengan hutan bakau. Hutan-hutan bakau ini dapat dilihat di sepanjang kawasan tebing muara dan sungai-sungai berair masin.

    Bagi pemancing-pemancing, pesisir hutan bakau umpama tempat di mana peti harta karun disorok yang perlu diterokai.

    Di kawasan inilah tempat pelbagai spesies ikan-ikan buruan pemancing bersembunyi, di balik kayu-kayan bakau yang tumbang ke air, di sebalik akar-akarnya yang berjuntaian.

    Ikan-ikan muara seperti si raja muara, ungah, kerapu, ketambak dan lain-lain lagi suka menjadikan kawasan ini sebagai tempat mencari makan, memburu dan menyerang hendap mangsanya yang terdiri daripada ketam, udang dan ikan-ikan kecil.

    Untuk memancing di persekitaran ini, si pemancing perlulah sekurang-kurangnya menguasai teknik lontaran sisi, agar umpan boleh dilontar tepat di celah-celah akar bakau dan reba tanpa tersangkut di atas ranting-ranting, dahan-dahan dan daun-daun rimbun pokok bakau.

    Pesisir hutan bakau umpama tempat peti harta karun disorok yang perlu diterokai. – GAMBAR OLEH RAZ AS
    Penggunaan mata kail tunggal merupakan pilihan baik untuk menggurangkan risiko sangkut. – GAMBAR OLEH SALTY SCALES

    Lebih baik lagi sekiranya pemancing dapat menguasai teknik lontaran skip-cast. Dengan cara ini, umpan boleh dilabuh di kawasan tertutup di mana ia tidak dapat dicapai melalui lontaran atas dan sisi.

    Penggunaan mata kail tunggal merupakan pilihan baik untuk menggurangkan risiko sangkut, namun lebih baik lagi jika menggunakan mata kail weedless, yang disambungkan pada tali pancing dan set peralatan berkekuatan tinggi.

    Cukup untuk mengekang larian ikan yang cuba untuk melarikan diri ke dalam reba.

    Selain daripada melontarkan umpan ke celah-celah reba dan di bawah rimbunan daun di mana ikan bersembunyi daripada cahaya matahari, lubang-lubang dalam juga boleh menjadi tempat di mana ikan-ikan besar bersembunyi terutama ketika cuaca panas.

    Sebaik-baiknya elakkan perahu hanyut atau datang terlalu dekat dengan bakau. Semakin dekat perahu kita semakin tinggi peluang ikan-ikan yang bersembunyi berdekatan lari ketakutan, terutama sekali jika terdengar bunyi bising daripada lantai, peti yang dibuka tutup dan sebagainya.

    Selain menggunakan umpan hidup atau lure tenggelam, lure aksi permukaan seperti popper dan pensil sangat sesuai digunakan di kawasan ini kerana imun daripada tersangkut pada akar-akar dan reba yang tenggelam.

    Gunakan lure aksi permukaan sebagai search bait dengan melontarkannya selari di sisi-sisi akar-akar bakau.

    Bunyi dan kocakan air ini boleh menarik perhatian ikan-ikan pemangsa untuk keluar daripada persembunyiannya.

    Mungkin ada seekor dua yang berenang-renang jauh di luar reba tetapi ingatlah bahawa ikan-ikan berada di kawasan bakau untuk bersembunyi, sekiranya sambaran ikan tidak tepat atau mata kail terlucut, cuba lontar lagi ke tempat persembunyiannya tadi setelah beberapa ketika.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda