SYDNEY, 16 OKT – Hutan hujan tropika di Australia kini antara yang pertama di dunia dikesan melepaskan lebih banyak karbon dioksida berbanding jumlah yang diserap, kata saintis hari ini yang mengaitkan trend ‘ sangat membimbangkan’ dengan perubahan iklim.
Kebiasaannya, hutan hujan berperanan penting sebagai ‘sinki karbon’ yang menyerap sejumlah besar pelepasan pemanasan planet dari atmosfera.
Sesetengah model meramalkan peningkatan karbon dioksida dalam atmosfera boleh meningkatkan pertumbuhan hutan dengan menawarkan pokok lebih banyak bahan api asas yang mereka perlukan untuk fotosintesis.
Namun, penyelidikan baharu mendapati suhu melampau menyebabkan kadar kematian hutan meningkat dari pertumbuhan, dengan hutan hujan di kawasan tropika utara Australia sebagai penyumbang bersih pelepasan karbon.
“Ini adalah analisis pertama yang menunjukkan corak berlaku dalam hutan semula jadi yang tidak terganggu dan berterusan selama bertahun-tahun,” kata pengarang kanan kajian, Patrick Meir, kepada AFP. Beliau menyifatkan dapatan itu sebagai ‘sangat membimbangkan’.
Pasukan penyelidik meneliti rekod pertumbuhan hutan hujan di Queensland selama hampir 50 tahun dan mendapati sekitar tahun 2000, kawasan tersebut mula melepaskan lebih banyak karbon dioksida hasil pereputan pokok mati berbanding jumlah yang diserap oleh batang dan dahan yang masih tumbuh.
Model kajian menunjukkan punca utama fenomena itu ialah suhu ekstrem akibat perubahan iklim serta kesannya terhadap kelembapan atmosfera dan kemarau. Ribut taufan yang dijangka semakin kuat akibat perubahan iklim turut memberi kesan. – AFP


