Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hutan Hyrcanian UNESCO terbakar, Iran rayu bantuan antarabangsa

    TEHRAN, 23 NOV – Iran telah meminta bantuan luar untuk memadam kebakaran besar yang membakar hutan yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO di utara negara itu sejak beberapa hari lalu, lapor media kelmarin.

    Hutan Hyrcanian membentang kira-kira 1,000 kilometer di sepanjang pantai Iran di Laut Kaspia hingga ke Azerbaijan yang berjiran.

    UNESCO mengiktiraf hutan itu sebagai Tapak Warisan Dunia pada 2019, kerana keunikannya dari segi usia antara 25 hingga 50 juta tahun serta kepelbagaian biodiversitinya, yang menempatkan lebih 3,200 spesies tumbuhan.

    Kebakaran yang bermula di kawasan itu pada awal November dan pada mulanya berjaya dipadamkan, menyala semula pada 15 November, menurut agensi berita rasmi IRNA Iran.

    Timbalan kepada Presiden Iran Massoud Pezeshkian, Mohammad Jafar Ghaempanah, menulis di X pada Jumaat, “berdepan dengan kemustahilan mengekang kebakaran”, Iran telah “meminta bantuan segera daripada negara-negara sahabat”.

    “Dua pesawat pengebom air khusus, sebuah helikopter dan lapan anggota akan dihantar dari Turkiye,” kata ketua Pertubuhan Perlindungan Alam Sekitar Iran, Shina Ansari, kelmarin.

    “Jika perlu, kami juga akan meminta bantuan daripada Rusia,” tambahnya di televisyen negara.

    Menurut agensi berita Tasnim, kebakaran itu didakwa berpunca daripada pemburu di kawasan berbatu Elit di wilayah Mazandaran, utara Iran.

    Negara itu kini berdepan salah satu kemarau paling teruk sejak rekod bermula enam dekad lalu.

    Ketua pengurusan krisis wilayah Mazandaran, Hossein Ali Mohammadi, menyifatkan operasi memadam kebakaran itu sebagai “antara yang paling kompleks dalam beberapa tahun kebelakangan ini”.

    UNESCO menyatakan di laman webnya bahawa hutan Hyrcanian mengandungi “banyak spesies pokok nadir dan endemik” serta menjadi habitat kepada “pelbagai spesies tumbuhan purba dan terancam”.

    “Rakyat Iran sedang kehilangan warisan alam semula jadi yang lebih tua daripada tamadun Parsi,” tulis  seorang saintis PBB dan bekas pegawai alam sekitar Iran, Kaveh Madani, di X. – AFP

    Gambar ini menunjukkan kebakaran yang sedang melanda hutan Chalus di Chalus pada 21 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda