LABUAN – Hutan Merinding dekat Jalan Pohon Batu, di sini, yang dahulunya kurang mendapat perhatian kini menjadi lokasi tumpuan ramai terutama dalam kalangan peminat sukan dan rekreasi bagi aktiviti larian, berbasikal dan kembara menyusur denai sama ada pada hari biasa mahupun hujung minggu.
Perubahan itu berikutan pembinaan laluan pejalan kaki, berlari dan berbasikal, serta trek kereta kawalan jauh di hutan Merinding baru-baru ini, atas inisiatif sekumpulan peminat sukan lasak dikenali sebagai MTB Park Team.
Pengendali MTB Park Team Jason Fu berkata kerja-kerja merubah wajah hutan rekreasi tersebut dimulakan sejak Januari lalu, namun terhenti selama beberapa bulan berikutan pandemik COVID-19.
Beliau berkata ia diteruskan semula selepas pulau bebas cukai itu beralih ke fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan aktiviti sukan rekreasi kembali dibenarkan pada bulan lepas.
Jason berkata hutan Merinding kini dikenali sebagai MTB Park dengan mempunyai laluan ulang-alik sejauh 6.8 kilometer untuk aktiviti kembara, larian dan berbasikal di denai.
“Pembinaan laluan ini tanpa mengharapkan habuan atau imbuhan. Kami gembira kerana usaha yang hanya menggunakan cangkul, penyodok tanah dan mesin pemotong kayu, kini dapat dimanfaatkan orang ramai,” katanya sambil mengakui inisiatif itu didorong oleh minat yang mendalam dalam aktiviti tersebut.
Menurut Jason pembinaan MTB Park pada awalnya untuk sukan berbasikal lasak atau ‘mountain bike’, iaitu aktiviti ekstrem yang dilakukan di kawasan tidak rata, seperti kawasan hutan.
Namun katanya, ada juga pengunjung menjadikannya sebagai laluan larian dan kembara denai.
Sementara itu, Pengasas JHK Events Jamil Kario berkata pihaknya berhasrat mengadakan kerjasama dengan MTB Park Team bagi menganjurkan Labuan Adventure Challenge 2021 apabila situasi pandemik COVID-19 semakin reda dan membolehkan penganjuran sukan tersebut.
“Sudah semestinya melalui penganjuran sukan lasak ini akan membantu merancakkan semula sektor pelancongan Labuan,” katanya.
Menurutnya sebelum pandemik, JHK Events berpengalaman menganjurkan beberapa sukan lasak di Labuan dengan menarik ramai atlet sukan lasak dari dalam dan luar negara. – Bernama