KUALA LUMPUR, 26 JULAI – Kerajaan telah mewartakan seluas 68.281 hektar kawasan Hutan Paya Bakau Kina Benuwa di Wilayah Persekutuan Labuan sebagai hutan simpanan kekal (HSK) dengan dinamakan sebagai Hutan Simpan Kina Benuwa.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pewartaan itu dilakukan pada 11 Julai lepas selaras dengan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh aspek pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya laut, selari dengan Rancangan Fizikal Zon Pesisir Pantai Negara II.
“(Hutan ini) merupakan HSK pertama yang diwartakan di Wilayah Persekutuan Labuan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan HSK pertama di Wilayah Persekutuan daripada jenis hutan paya laut.
“(Pewartaan) ini menjadikan kawasan HSK di Wilayah Persekutuan meningkat daripada 84.62 hektar kepada 152.901 hektar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini, bersempena dengan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa 2023.
Susulan pewartaan baharu itu, katanya kementerian akan terus meningkatkan kerjasama strategik dengan Perbadanan Labuan dalam pengurusan Hutan Simpan Kina Benuwa.
Beliau berkata kementerian turut mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama strategik dan penajaan daripada badan korporat untuk menjalankan aktiviti restorasi di kawasan Hutan Simpan Kina Benuwa dan kawasan hutan paya laut di seluruh negara.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata sehingga kini Malaysia berupaya mengekalkan kawasan hutan paya laut seluas 629,038 hektar iaitu 3.4 peratus daripada keluasan kawasan berhutan di seluruh negara. – Bernama
