Monday, July 14, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hutan Pulau Fraser 40% terbakar

    BRISBANE, AUSTRALIA, 30 NOV – Anggota bomba Australia berusaha mengawal kebakaran yang sudah pun memusnahkan 40 peratus hutan di Pulau Fraser yang menjadi tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO), sebelum gelombang panas melanda hari ini.

    Kebakaran di pulau terbesar di dunia, di pantai timur Australia itu berlaku selama lebih enam minggu dan memusnahkan kawasan hutan di pulau berkenaan.

    Suhu diramalkan memuncak sehingga 34 darjah Celsius hari ini, ketika gelombang panas melanda seluruh wilayah, menimbulkan kebimbangan bahawa keadaan lebih panas mendorong api akan lebih marak.

    “Tumbuhan di Pulau Fraser tersangat kering dan mudah untuk terbakar. Anggota bomba bukan hanya berdepan cuaca sangat mencabar, malah tugas mereka lebih sukar disebabkan akses terhad ke kawasan kebakaran di utara pulau itu,” kata pengawal kejadian, James Haig kepada AFP.

    Sekitar dua pertiga negeri Queensland termasuk Pulau Fraser pada masa ini dilanda kemarau.

    Perkhidmatan Queensland Parks and Wildlife mengatakan api marak di dua kawasan seluas 74,000 hektar atau 42 peratus pulau, tetapi tidak mengancam harta benda.

    Bagaimanapun, pihak berkuasa melarang pengunjung ke lokasi yang menjadi destinasi percutian popular itu dan mengehadkan perkhidmatan feri sehingga dimaklumkan kelak ketika kebakaran semakin dekat dengan penempatan penduduk sejak beberapa hari lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda