Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hutan Rama-rama di rumah hijau

    TRENTO, ITALI – Di rumah hijau yang subur di pergunungan Alps, rama-rama pelbagai spesies dan warna terbang bebas manakala pupa rama-rama digantung dalam struktur apabila ia membesar menjadi serangga dewasa.

    Ini adalah Hutan Rama-rama di rumah hijau gunung tropika di Trento, Itali, sebuah projek oleh Museo delle Scienze (MUSE), sebuah muzium sains Itali. Ia meniru Pergunungan Udzungwa, banjaran gunung dan kawasan hutan hujan di selatan-tengah Tanzania yang merupakan salah satu pusat biodiversiti dunia.

    Hutan Rama-rama itu menampilkan spesies tumbuhan endemik di rantau berkenaan, serta burung-burung, reptilia, amfibia, ikan dan invertebrata dari pelbagai bahagian dunia, semuanya di dalam hutan seluas 600 meter persegi (kira-kira 6,400 kaki persegi) dengan tebing, cerun dan air terjun.

    Ia telah dibangunkan pada musim bunga ini untuk mewujudkan kesedaran awam tentang beberapa penyelidikan yang dilakukan oleh MUSE di Pergunungan Udzungwa untuk mengkaji dan melindungi biodiversiti dunia daripada ancaman seperti pembasmian hutan dan perubahan iklim.

    Pembasmian hutan membawa kepada kehilangan habitat, yang menyebabkan kemerosotan sumber nektar untuk rama-rama, mengubah fungsi ekosistem. Ia juga boleh mengehadkan pergerakan serangga yang menyebabkan kemerosotan dalam biodiversiti dan potensi kepupusan spesies rama-rama yang terdedah.

    Pakar Ornitologi, Francesca Rossi memegang Attacus lorquinii betina yang baru lahir di rumah hijau MUSE, sebuah muzium sains di Trento, Itali, pada 6 Mei lalu. – AP
    Rama-rama Heliconius Melpomene mengawan di rumah hijau MUSE. – AP
    Sebuah tapak pembiakan rama-rama dengan pupa pelbagai spesies dipamerkan di rumah hijau MUSE. – AP
    Seekor rama-rama Morpho Helenor dilihat di atas bunga Scadoxus di rumah hijau MUSE. – AP
    Gambar AP
    Danaus Chrysippus dilihat di atas daun di rumah hijau MUSE. – AP
    Tauraco livingstonii jantan memberi makan kepada pasangannya. – AP

    Perubahan pada suhu tanah dan udara mengubah kitaran hidup serangga berkenaan, memberi kesan kepada kadar perkembangan, tingkah laku pengawanan dan corak penghijrahan. Populasi rama-rama semakin berkurangan di banyak kawasan, terutamanya di tempat di bawah penggunaan tanah yang intensif.

    “Matlamat kami adalah untuk dapat belajar dengan lebih baik, untuk memahami dengan lebih baik apa yang berlaku,” kata Lisa Angelini, ahli botani dan pengarah rumah hijau MUSE.

    “Kerja kami merangkumi memantau dan cuba membangunkan projek-projek untuk memberi perhatian kepada isu-isu berkaitan biodiversiti.”

    Rama-rama adalah pendebunga yang membolehkan tumbuhan membiak, oleh itu memudahkan pengeluaran dan bekalan makanan. Ia juga merupakan makanan untuk burung dan haiwan-haiwan lain.

    Oleh sebab pelbagai peranan rama-rama dalam ekosistem dan kepekaannya yang tinggi terhadap perubahan alam sekitar, saintis menggunakannya sebagai penunjuk kepelbagaian biologi dan cara untuk mengkaji kesan kehilangan habitat dan ancaman-ancaman lain.

    “Serangga pada amnya memainkan peranan penting dalam fungsi ekosistem yang betul,” kata Mauro Gobbi, ahli entomologi dan penyelidik di MUSE.

    Melalui perkongsian dengan Pihak Berkuasa Taman Negara Tanzania, MUSE menubuhkan Pusat Pemantauan Ekologi Udzungwa pada 2006 untuk menyokong penyelidikan serta dalam pembangunan program pendidikan alam sekitar untuk sekolah-sekolah.

    “Penyelidikan mengenai rama-rama penting untuk pengetahuan usaha pemuliharaan dan memastikan kemandirian jangka panjang serangga berkenaan,” kata Arafat Mtui, penyelaras penyelidikan di Pusat Pemantauan Ekologi Udzungwa.

    Usaha-usaha pemuliharaan seperti pemulihan habitat dan amalan pengurusan tanah yang baik, yang menangani kesan perubahan iklim, adalah penting untuk melindungi populasi rama-rama, tambahnya.

    Dengan sekurang-kurangnya 2,500 spesies tumbuhan, lebih daripada 120 mamalia, dan beribu-ribu spesies invertebrata, Pergunungan Udzungwa kaya dengan kepelbagaian biologi. Ia adalah sebahagian daripada Pergunungan Arka Timur di Kenya dan Tanzania yang merupakan tapak Warisan UNESCO yang dicadangkan. Ia mempunyai lebih daripada 40 spesies rama-rama endemik.

    Kerja MUSE di sana adalah penting kerana kepelbagaian berkenaan, kata Sevgan Subramanian, saintis utama dan ketua kesihatan alam sekitar di Pusat Antarabangsa Fisiologi Serangga dan Ekologi di Nairobi.

    “Sekiranya ingin melakukan pemantauan terhadap kesihatan ekosistem, pemantauan kepelbagaian populasi serangga asli atau endemik adalah sangat kritikal, supaya kita mempunyai idea sama ada ekosistem itu masih sihat atau tidak,” katanya.

    Gobbi, ahli entomologi, berkata bahawa persekitaran altitud tinggi seperti Taman Negara Pergunungan Udzungwa sesuai untuk mengkaji kesan perubahan iklim kerana ia biasanya tidak mempunyai kesan langsung kepada manusia.

    Beliau dan saintis-saintis lain telah memberi amaran bahawa kegagalan untuk melindungi serangga-serangga daripada kesan perubahan iklim secara drastik akan mengurangkan keupayaan planet untuk membina masa depan yang mampan.

    Para saintis di MUSE berkata, cabaran utama dalam pemuliharaan rama-rama ialah mengubah dasar pertanian semasa untuk meningkatkan jumlah tanah ladang intensiti rendah, dan mempromosikan landskap yang pelbagai memelihara tompok habitat semula jadi yang tinggal.

    “Datuk dan nenek kita kerap berkata, ‘tiada lagi banyak rama-rama seperti dahulu’,” katanya. Ini “disokong sepenuhnya oleh penyelidikan saintifik, yang mengesahkan bahawa rama-rama, seperti serangga lain, berada dalam krisis. Kita kehilangan spesies, Kita kehilangannya selama-lamanya, dan ini akan memecahkan keseimbangan ekosistem.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda