Tuesday, February 25, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hutan segalanya buat puak asli Amazon

    SETIAP kali Japarupi Waiapi melihat hutan rimba, dia akan menganggap hutan itu sebagai pusat membeli belah, farmasi, kedai perabot dan sebagainya. Makanan seperti kelapa, akar dan pisang tumbuh dengan begitu mekar di kawasan hutan tempat Japarupi tinggal.

    Haiwan dan juga ikan sedia untuk diburu dan kebanyakan kulit kayu banyak dimanfaatkan untuk kegunaan perubatan. “Kami menggunakan daun-daun besar sebagai atap rumah kami, kami menggunakan busur dan juga anak panah,” tambah Japarupi yang berusia 45 tahun dan merupakan salah seorang puak suku Waiapi di Timur Brazil kepada wartawan AFP.

    Selain itu, Japarupi juga menggunakan pekakas-pekakas semula jadi sebagai beg, mangkuk dan sebagainya malah menggunakan buluh sebagai cawan untuk minum. Daun pisang digunakan sebagai alas meja, tulang haiwan untuk peralatan-peralatan aksesori dan semua ini dilihat secara literal mencerminkan kebudayaan mereka.

    “Kami sebenarnya tidak memerlukan duit dan perdagangan malah saya sering berpesan kepada anak-anak saya, jangan sekali-kali meletakkan tangan mereka kepada ‘Orang Putih’ malah bergantung sepenuhnya kepada sumber hutan dan juga sungai,” tambah Japarupi kepada wartawan media. Penerangan daripada Japarupi itu sebenarnya mencerminkan cara hidup masyarakat kuno, mandiri dan tinggal jauh daripada alam kemodenan negara Brazil.

    Masyarakat Waiapi juga percaya di dalam hutan rimba Amazon, terdapat sekitar 1,200 suku kaum asli sedia untuk menjaga keamanan hutan Amazon sekali gus berjaya menjaga Amazon untuk mengawal keadaan iklim global dan seluruh dunia.

    Japarupi bersama peralatan suku kaum asli mereka yang terdiri daripada haiwan. – AFP
    Masyarakat Waiapi juga percaya di dalam hutan rimba Amazon, terdapat sekitar 1,200 suku kaum asli sedia untuk menjaga keamanan hutan Amazon. – AFP

    Selama beberapa dekad, Waiapi dan suku kaum asli yang lain telah mengalami tekanan daripada pelombong, pengusaha moden dan pembalak yang sentiasa menghantui puak pribumi itu dan menceroboh kawasan perhutanan Amazon.

    Malah tekanan itu diperkuat lagi pada Ogos yang lalu, apabila Presiden Michel Temer mengisytiharkan rizab yang dilindungi khususnya di kawasan puak suku asli Waiapi dipanggil sebagai Renca, dibukakan untuk aktiviti perlombongan asing.

    Namun Temer terpaksa mengundur diri sebulan kemudian setelah menghadapi kritikan hebat dan dahsyat daripada ahli alam sekitar. Namun suku asli Waiapi tetap berkeras untuk menjaga dan melindungi hutan mereka. “Ini adalah hutan kami, kami akan berusaha keras untuk sentiasa melindunginya,” kata Tapayona Waiapi yang berusia 36 tahun kepada wartawan media.

    Penyembuhan dan semangat yang cekal

    Menelusuri kawasan hutan rimba, suku kaum asli memberikan amaran kepada para wartawan untuk sentiasa membuka mata mereka daripada ancaman bahaya kerana dikhuatiri terkena dengan jeratan suku kaum asli yang meletakkan racun pada tumbuh-tumbuhan.”

    Anda perlu tahu, ini adalah Amazon, apa-apa boleh terjadi di sini,” kata Jawaruwa Waiapi yang berusia 31 tahun menemani para wartawan media. Namun para wartawan tidak khuatir kerana mereka percaya akan kejujuran suku kaum asli itu malah kebanyakan wartawan itu mencintai hutan daripada memusuhi hutan.

    Salah seorang puak suku asli Waiapi, Akitu menunjukkan beberapa batang pokok yang bermanfaat untuk kesihatan dan juga perubatan seperti menyembuhkan cirit-birit, menurunkan demam panas dan membantu mempercepatkan proses bekas parut luka.

    “Sebenarnya, banyak elemen perubatan di dalam hutan ini dan apabila orang ramai memerlukannya, mereka hanya perlu datang dan mengambilnya,” tambah Akitu kepada wartawan media.

    Selama beberapa dekad, Waiapi dan suku kaum asli yang lain telah mengalami tekanan daripada pelombong, pengusaha moden dan pembalak yang sentiasa menghantui puak pribumi itu dan menceroboh kawasan perhutanan Amazon. – AFP

    Namun apa yang pasti, suku kaum asli ini mengamalkan pemujaan terhadap binatang dan menganggap haiwan pujaan mendiami setiap pokok, sungai dan juga haiwan. Salah seorang puak asli berkenaan menunjukkan sebatang pokok besar, Dinizia Excelsa, yang mempunyai kayu yang keras malah buahnya dimakan oleh suku asli berkenaan.

    Pokok itu dikelilingi dengan akar-akar besar, luas dan tinggi seperti sebuah menara istana. “Pokok ini memberikan komuniti kami sesuatu yang tidak nampak iaitu semangat namun ada segala-galanya di sini namun kita semua tidak dapat melihatnya,” tambah suku asli itu kepada media.

    Mesej dari haiwan

    Ironinya, Waiapi juga menjalani kehidupan dengan pemotongan pokok namun mereka melakukannya secara lestari. Seperti kebanyakan suku kaum asli di seluruh dunia, suku kaum ini menggunakan teknik yang disebut sebagai ‘Slash and Burn’ di mana pokok akan ditebang dan dibiarkan mati serta kering sebelum dibakar untuk menyediakan kawasan tanah yang baru.

    Abu daripada pokok-pokok itu akan membantu menyuburkan tanah berkenaan yang mana sesuai untuk aktiviti pertanian.

    Walaupun melakukan aktiviti pemotongan pokok namun puak suku Waiapi mewujudkan proses kitar semula yang sihat malah Waiapi tahu bagaimana untuk menjaga keseimbangan tumbuhan hutan. “Kami tahu tanah itu letih, sungai itu letih,” kata Japarupi kepada media.

    “Apabila anda tinggal di hutan, anda akan dapat mendengar bunyi-bunyi haiwan malah kami sebenarnya faham dan boleh berinteraksi dengan haiwan,” kata Japarupi lagi kepada media.

    “Namun begitulah keadaan masyarakat suku kaum asli di kawasan ini, kami dengan Amazon akan sentiasa bersama hidup dengan penuh kasih sayang dan juga harmoni aman sejahtera tanpa ada sebarang gangguan,” tambah Japarupi mengakhiri temu ramah bersama media. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda