ATHENS, GREECE, 11 OGOS – Sebuah kem pelancong dan rumah-rumah berhampiran selatan pulau Elafonisos, Greece telah dikosongkan buat hari kedua berturut-turut ketika kebakaran di tapak pelupusan berdekatan semakin bertambah ganas disebabkan angin kencang.
Pihak berkuasa mengumumkan kebakaran itu ‘dapat dikawal’ malam kelmarin, namun angin memperhebatkannya semula.
Keseluruhannya, 121 anggota bomba cuba untuk memadamkan kebakaran itu hari ini dengan dibantu enam pesawat udara dan helikopter. Elafonisos, sebuah pulau berukuran 19 kilometer persegi dikenali dengan pantai dan mempunyai penduduk kira-kira 350 orang namun dikunjungi lebih 3,000 pelancong setiap hari semasa musim panas. – AP