Wednesday, October 16, 2024
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hutang awam global dijangka cecah AS$100 trilion tahun ini

    WASHINGTON, 15 OKT – Hutang awam global dijangka mencapai rekod AS$100 trilion tahun ini, kata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) hari ini, memberi amaran bahawa prospek fiskal bagi banyak negara mungkin lebih ‘buruk daripada yang dijangka’.

    Dalam laporan terbarunya mengenai dasar fiskal, IMF menjangkakan hutang awam global akan mencapai 93 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global tahun ini, dan menghampiri 100 peratus KDNK menjelang 2030, sekitar 10 mata peratusan lebih tinggi daripada tahun 2019, sebelum pandemik COVID-19 melanda.

    “Hutang awam global sangat tinggi,” kata Era Dabla-Norris, timbalan pengarah Jabatan Hal Ehwal Fiskal IMF, kepada pemberita sebelum penerbitan laporan itu.

    “Terdapat sebab-sebab kukuh untuk mempercayai bahawa beban hutang, atau prospek hutang, boleh menjadi lebih buruk daripada yang dijangka,” katanya, merujuk kepada tekanan perbelanjaan semasa untuk menangani isu seperti perubahan iklim, unjuran hutang yang terlalu optimistik, dan kemungkinan jumlah besar hutang yang tidak dikenal pasti.

    “Jadi, kesimpulannya adalah sudah tiba masanya bagi negara-negara untuk memperbaiki keadaan fiskal mereka,” katanya. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda