Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, telah membenarkan penangguhan tanpa had terhadap perintah penggulungan bagi sebuah syarikat dalam permohonan pertama seumpamanya.
Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong membuat perintah tersebut dalam kes antara pemohon, Pehin Dato Haji Adanan bin Haji Mohd Yusof di bawah nama Begawan Pehin Dato Haji Md Yusof dan Anak-anak dan responden, MSS Mega Company Sdn Bhd.
Petisyen yang difailkan pada 16 November 2019 itu timbul daripada apabila pemohon memfailkan petisyen kreditor pada 27 Mac 2018 terhadap syarikat responden dengan alasan mereka tidak dapat membayar hutang kepada pemohon.
Semasa perbicaraan pada 9 Jun 2018, kedua-dua pihak dan pemiutang lain menyetujui penangguhan yang dibuat oleh mahkamah untuk memberi jalan bagi rundingan ke arah penyelesaian yang baik.
Responden akhirnya bersetuju untuk membayar pemohon dan pemiutang lain secara ansuran bulanan, tetapi tertunggak.
Hal ini menyebabkan pemohon memfailkan permohonan perintah penggulungan terhadap responden, yang mana responden memohon bagi penolakan terhadap perintah tersebut.
Mahkamah mengambil kira keadaan syarikat responden, responden telah membayar sepenuhnya hutang kepada pemohon dan pemiutang lain serta hakikat bahawa kedua-dua pemohon dan pemiutang lain tidak keberatan bagi penangguhan tanpa had terhadap perintah penggulungan tersebut.
Ketua Hakim membenarkan penangguhan tersebut dengan memberikan pertimbangan bahawa penangguhan tanpa had akan membolehkan responden menjalankan perniagaannya dan menghormati komitmen kontraknya.
“Penolakan bagi penangguhan tersebut akan memaksa responden untuk menghentikan operasi yang akan menjejaskan perkhidmatan (pelupusan sampah) yang disediakannya dan akan menyebabkan seramai 26 pekerja kehilangan pekerjaan mereka,” kata Ketua Hakim ketika memberikan penghakiman.
Eugene Loh dari Messrs Yusof Halim and Partners mewakili pemohon sementara Mohd Shazale bin Haji Mat Salleh dari Messrs Mohd Shazale Salleh mewakili responden.