YAMAN, 20 NOV – Pasukan Huthi yang disokong Iran mengumumkan kelmarin bahawa mereka telah menawan sebuah kapal yang dimiliki oleh seorang pengusaha Israel di Laut Merah dan membawanya ke pantai Yaman.
Kapal itu dioperasikan oleh sebuah firma Jepun, mendorong Tokyo untuk campur tangan dan mendekati pasukan Huthi secara “langsung”.
Pengumuman itu muncul beberapa hari setelah pasukan Huthi mengancam akan menyerang kapal-kapal Israel di laluan air tersebut sebagai respons terhadap perang Israel dengan Hamas di Semenanjung Gaza.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyatakan bahawa kapal itu dimiliki oleh sebuah syarikat British dan dioperasikan oleh firma Jepun.
Nippon Yusen, juga dikenali sebagai NYK Line Jepun, mengesahkan kepada AFP bahawa mereka yang mengendalikan kapal bertanda bendera Bahamas, Galaxy Leader.
“Pihak kami telah diberitahu oleh Galaxy Maritime di UK bahawa Galaxy Leader, pengangkut kereta yang kami sewa dari syarikat itu, telah ditangkap” semasa pelayaran berhampiran pantai Hodeida.
Syarikat keselamatan maritim Ambrey menyatakan “pemilik kumpulan pengangkutan kereta tersebut tercatat sebagai Ray Car Carriers”, yang ibu syarikatnya dimiliki oleh Abraham ‘Rami’ Ungar, seorang pengusaha Israel.
Pada 14 November, pemimpin Huthi, Abdul Malik al-Huthi, mengatakan pasukannya sedang mengawasi kapal-kapal Israel di perairan yang sangat penting secara komersial di Laut Merah termasuk yang tidak membawa bendera Israel. – AFP