Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hwang Ui-jo digantung dari pasukan kebangsaan

    SEOUL, 29 NOV – Penyerang bola sepak, Hwang Ui-jo digantung oleh Korea Selatan tujuh minggu sebelum Piala Asia kerana siasatan polis terhadap dakwaan dia me-rakam bekas teman wanita secara haram.

    Penyerang Norwich City itu dituduh merakam hubungan seksual dengan bekas pasangan itu melalui telefonnya tanpa kebenaran. Dia menafikan dakwaan itu.

    Hwang bermain untuk Korea Selatan dalam dua perlawanan kelayakan Piala Dunia bulan ini, menjaringkan penalti menentang Singapura, tetapi Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) kelmarin menggantungnya sementara menunggu hasil siasatan polis.

    Pemain berusia 31 tahun itu masih boleh bermain untuk kelab divisyen dua Inggeris, Norwich dan menjaringkan gol dalam kekalahan 3-2 di Watford kelmarin.

    “Sehingga keputusan muktamad dibuat, kami memutuskan untuk mengecualikan Hwang daripada pasukan kebangsaan,” kata kenyataan KFA.

    Hwang memberi reaksi semasa perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara UEFA. – AFP

    Lee Youn-nam, yang mengetuai jawatankuasa etika KFA, memberitahu pemberita bahawa pemain kebangsaan mesti berkelakuan ‘dengan tahap moral dan tanggungjawab yang tinggi’.

    “Memandangkan hakikat bahawa pemain itu sedang disiasat sebagai suspek, adalah sukar baginya untuk menjalankan aktiviti biasa pasukan kebangsaan,” kata Lee.

    “Peminat bola sepak menaruh harapan yang tinggi terhadap pasukan kebangsaan, jadi kami menganggap tidak sesuai untuk memilih Hwang Ui-jo untuk pasukan kebangsaan.”

    Hwang, yang dipinjamkan ke Norwich dari Nottingham Forest, telah menjaringkan 19 gol dalam 62 penampilan untuk Korea Selatan.

    Jurulatih Jurgen Klinsmann berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh KFA, “Saya memahami sepenuhnya situasi semasa dan akan menghormati keputusan KFA.”

    Klinsmann memilih Hwang untuk kemenangan kelayakan Piala Dunia baru-baru ini ke atas Singapura dan China, selepas polis memulakan siasatan mereka dan mempertahankan keputusannya pada masa itu.

    “Selalu ada spekulasi,” kata pemenang Piala Dunia Jerman itu selepas kembali daripada kemenangan 3-0 ke atas China di Shenzhen minggu lalu.

    “Sehingga perkara tersebut dibuktikan, saya tidak percaya.”

    Piala Asia bermula di Qatar pada 12 Januari, dengan Korea Selatan memulakan kempen mereka menentang Bahrain tiga hari kemudian. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda