Monday, October 7, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hypo Box bagi rawatan hipoglisemia dilancar

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Sebagai salah satu usaha dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada pesakit diabetes, Kementerian Kesihatan telah melancarkan Hypo Box bagi Rawatan Hipoglisemia di Dewan Al’-Afiah, Kementerian Kesihatan.

    Hadir menyempurnakan pelancaran ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Hypo Box mengandungi bahan-bahan habis pakai dan peralatan perubatan yang diperlukan untuk merawat hipoglisemia (bacaan paras glukosa dalam darah di bawah 4mmol/L) dengan segera bagi pesakit diabetes.

    Ia akan diberikan di hospital-hospital dan pusat kesihatan kerajaan di negara ini agar dapat membantu pesakit yang memerlukan bantuan bagi rawatan hipoglisemia.

    Konsultan Endokrinologi, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Dr Lina Chong Pui Lin dalam ucapannya selaku pengerusi majlis berkata, kira-kira satu dalam 10 orang dewasa di negara ini mengalami penyakit kencing manis.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyerahkan Hypo Box kepada salah seorang ketua pegawai eksekutif hospital pada majlis pelancaran tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Yang Berhormat Menteri Kesihatan mendengar penerangan daripada Dr Lina Chong Pui Lin pada majlis itu. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Sekurang-kurangnya 20 hingga 30 peratus orang dewasa yang dimasukkan ke hospital pada satu masa mengalami diabetes.

    Daripada jumlah itu, satu daripada lima orang mengalami hipoglisemia semasa dirawat di hospital.

    Paling penting, tekannya, hipoglisemia dikaitkan dengan rawatan di hospital lebih lama dan kematian lebih tinggi.

    Beliau menjelaskan, hipoglisemia digambarkan sebagai keadaan paras gula rendah yang biasanya dikaitkan dengan simptom-simptom seperti menggigil, berpeluh, degupan jantung laju dan banyak lagi serta dalam kes lebih teruk mengalami sawan atau koma.

    Dalam kalangan diabetes, hipoglisemia dianggap sebagai glukosa darah kurang daripada 4mmol/L.

    Hipoglisemia adalah komplikasi yang dihidapi oleh orang yang mengalami diabetes, terutamanya yang menggunakan insulin atau terapi sulphonlyurea.

    Ia dianggap sebagai masalah perubatan kecemasan dan perlu dirawat dengan segara kerana ia boleh mengancam nyawa jika terlambat mendapat rawatan khusus, tambahnya.

    Selepas pelancaran, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyerahkan Hypo Box berkenaan kepada ketua-ketua pegawai eksekutif bagi hospital-hospital dan pusat-pusat kesihatan yang terpilih.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar), Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Hajah Anie Haryani binti Haji Abdul Rahman, ketua-ketua jabatan, berserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda