Anggota kumpulan Korea Selatan, Treasure Hyun Suk dikecam warganet apabila dia secara terbuka menyelar segelintir penganjur acara yang gemar menggunakan populariti selebriti untuk kepentingan sendiri.
Hyun Suk menerusi video siaran langsung di Instagram menentang tindakan pihak penganjur yang meminta artis menghasilkan video sedangkan mereka hanya diundang untuk menyanyi.
Baginya tindakan itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh mengganggu fokus penyanyi sebelum dan selepas mengadakan persembahan.
“Apabila membuat persembahan saya mahu fokus dan bukan buat kerja lain.
“Saya tak mahu melakukan perkara-perkara yang tiada kaitan sebelum menghiburkan penonton. Seorang penyanyi harus bersedia sebelum naik ke atas pentas,” katanya memetik laporan mStar.
Bagiamanapun kata Hyun Suk, dia bukan seorang yang sukar memberi kerjasama sebaliknya penganjur perlu menetapkan waktu berbeza untuk melakukan perkara lain.
“Jika nak buat content fokus pada itu sahaja,” tegasnya.
Rata-rata peminat tidak bersetuju dengan pendirian Hyun Suk kerana menganggap seorang artis perlu fleksibel dalam kerjaya.
Sebelum ini Hyun Suk juga pernah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peminat kerana sering mengeluh dan memberi komen negatif terhadap kerjaya sebagai seorang penyanyi. – Agensi
