Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Hyundai Motor akan bina kilang kereta pertama di Arab Saudi

    SEOUL, 24 OKT – Hyundai Motor Group mengumumkan kelmarin bahawa ia telah memeterai perjanjian usaha sama dengan Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi untuk membina kilang pemasangan kereta pertamanya di Arab Saudi dan mengembangkan kehadirannya di pasaran Timur Tengah.

    Pengumuman itu dibuat sebagai sebahagian daripada inisiatif yang lebih luas yang menyaksikan 46 memorandum persefahaman dan perkongsian bersama ditandatangani antara syarikat Korea Selatan dan rakan sejawatan Arab Saudi semasa lawatan negara Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol ke Arab Saudi hujung minggu lalu.

    Perjanjian itu merangkumi pelbagai sektor termasuk tenaga, infrastruktur dan industri baharu selaras dengan inisiatif ‘Wawasan 2030’ Arab Saudi yang bertujuan untuk mempelbagaikan ekonomi negara dan mengurangkan pergantungan kepada minyak.

    Perkongsian tersebut juga sejajar dengan matlamat Korea Selatan untuk memanfaatkan teknologi termaju dan pengalaman pembangunan industrinya dengan kekuatan fiskal dan prospek pertumbuhan Arab Saudi.

    Majlis menandatangani perjanjian untuk kilang kereta Hyundai berlangsung di Forum Pelaburan Saudi-Korea yang diadakan di Hotel Fairmont di Riyadh, dengan jemputan terkenal termasuk Pengerusi Eksekutif Kumpulan Hyundai Motor Chung Euisun, Presiden Hyundai Motor, Jang Jae-hoon, Gabenor PIF, Yasir Al-Rumayyan , dan Timbalan Gabenor PIF, Yazeed Alhumied.

    Rakan kongsi itu akan menubuhkan kilang Completely Knocked Down (CKD) di King Abdullah Economic City, kira-kira 100 kilometer dari Jeddah, bandar kedua terbesar dan pelabuhan perdagangan utama Arab Saudi.

    Kemudahan itu akan menumpukan pada mengimport dan memasang alat ganti kereta berbanding pembuatan sendiri, dengan jangkaan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 50,000 kenderaan elektrik dan gas.

    “Kami sedang berusaha untuk meletakkan kemampanan dan inovasi di barisan hadapan industri automotif di rantau ini,” kata Jang Jae-hoon.

    Melabur bersama lebih AS$500 juta, Hyundai akan memegang 30 peratus kepentingan dalam kilang itu, dengan PIF memegang baki 70 peratus. Pembinaan dijadualkan bermula pada separuh pertama tahun depan, dengan pengeluaran besar-besaran bermula pada separuh pertama 2026. – ANN/The Korea Herald

    Presiden Korea Selatan (tiga dari kanan) menghadiri majlis menandatangani perjanjian untuk kilang pembuatan Hyundai Motor Group di Arab Saudi di sebuah hotel di Riyadh, Ahad lalu. – ANN/The Korea Herald
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...