Tuesday, October 8, 2024
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hyundai mula keluarkan SUV elektrik dari Georgia

    SAVANNAH, 8 OKT— Hyundai telah mula mengeluarkan SUV elektrik kurang dua tahun selepas kilang pembuatan bernilai AS$7.6 bilion  di barat Savannah siap dibina.

    Kilang Hyundai di Georgia itu mengadakan ‘perayaan dalaman’ Khamis lalu apabila kenderaan elektrik (EV) pertamanya untuk jualan komersial dilancarkan, menurut Bianca Johnson, jurucakap Hyundai Motor Group Metaplant America (HMGMA) dalam satu kenyataan kepada AP kelmarin.

    “Selepas proses pengesahkan pengeluarannya  memenuhi piawaian kualiti tinggi Hyundai Motor Group, HMGMA mulakan mengeluarkan kenderaan pelanggan lebih awal daripada jadual,” kata Johnson.

    Beliau berkata sambutan pembukaan besar-besaran di kilang Georgia dijangka pada suku pertama 2025.

    Pembuat kereta Korea Selatan itu bersama rakan kongsi bateri LG Energy Solution merancang untuk menggaji seramai 8,500 pekerja di tapak Bryan County, kira-kira 80 kilometer barat Savannah, sebaik sahaja kilang itu beroperasi sepenuhnya.

    Hyundai berkata ia akan menghasilkan sehingga 300,000 EV setahun di Georgia berserta dengan baterinya..

    Kawasan sekitar pengeluaran kenderaan kilang itu telah siap dan dikendalikan oleh lebih 1,000 pekerja, kata Johnson. Kemudahan membuat baterinya masih dalam pembinaan.

    Kenderaan pertama yang dihasilkan di tapak Georgia ialah model 2025 SUV elektrik Hyundai Ioniq 5. Johnson berkata EV buatan Amerika itu akan tiba di pusat pengedar di Amerika Syarikat sebelum akhir tahun ini.

    Pada separuh pertama tahun 2024, Ioniq 5 ialah kenderaan elektrik kedua terlaris di Amerika yang tidak dibuat oleh peneraju industri Tesla.

    Hyundai memecah tanah di kilangnya di Georgia pada akhir Oktober 2022. Ia merupakan projek pembangunan ekonomi terbesar yang pernah dilihat oleh negeri ini dengan potongan cukai sebanyak AS$2.1 bilion serta insentif lain daripada kerajaan negeri dan tempatan.

    Hyundai berusaha untuk mula membuat EV di Georgia dalam tempoh dua tahun selepas pecah tanah setelah didorong oleh insentif kenderaan elektrik persekutuan yang memberi ganjaran kepada pengeluaran domestik. – AP

    Caption: SUV elektrik Hyundai Ioniq 5 model 2025 dipamerkan pada 3 September selepas dilancarkan di sebuah pengedar kereta di Savannah. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda