SEOUL, Korea Selatan, 30 Ogos – Hyundai Motor Co berkata hari ini ia meneruskan pengeluaran di kilangnya di China di mana pengeluar kereta tersebut telah berusaha untuk menyelesaikan satu pertikaian dengan pembekal alat ganti yang membawa kepada pemberhentian pengeluaran.
Ia adalah yang terbaru dalam beberapa siri cabaran yang telah membelenggu pengeluar kereta terbesar di Korea Selatan dalam pasaran utama, sejak perbalahan diplomatik meletus pada musim bunga berhubung keputusan Korea Selatan untuk memasang sistem pertahanan peluru berpandu AS. Ia menimbulkan kemarahan China dan mendorong pengguna China menjauhi kereta Korea.
Jualan Hyundai di China merosot, meninggalkan syarikat gagal membayar pembekal tangki minyak tempatan. Pembekal enggan membekalkan komponen apabila Hyundai menangguhkan bayaran.
Kilang pemasangan di empat kilang yang dikendalikan oleh Beijing Hyundai Motor Co., usaha sama syarikat Korea Selatan dengan BAIC Motor Corp, beransur-ansur menghentikan pengeluaran kereta bermula minggu lalu tatkala komponen kehabisan. Mereka berhenti sepenuhnya semalam.
Pembekal meneruskan bekalan tangki minyak hari ini, kata jurucakap di pengeluar kereta Korea Selatan.

Kilangnya di China, tiga di antara mereka di Beijing dan satu di Changzhou, beransur-ansur meneruskan pengeluaran. Syarikat masih berunding dengan pembekal untuk menyelesaikan isu bayaran.
Hyundai melaporkan keuntungan suku paling rendah sejak 2010 selepas jualannya di China merosot 64 peratus pada suku April-Jun berbanding setahun sebelumnya.
Beijing menentang keputusan Seoul untuk memasang sistem pertahanan peluru berpandu AS. Korea Selatan berkata sistem tersebut bertujuan menghalang penindasan Korea Utara tetapi China bimbang radarnya akan melihat dengan teliti wilayahnya.
Dalam tempoh separuh pertama tahun ini, Hyundai menjual 321,000 kenderaan di China, merosot 42 peratus berbanding setahun sebelumnya. – AP