SEOUL, 21 JUN – Hyundai Motor berkata kelmarin bahawa ia menyasarkan untuk menjual dua juta kenderaan elektrik setiap tahun menjelang 2030, meningkatkan sasarannya daripada 1.87 juta yang ditetapkan tahun lepas memandangkan pasaran bagi kenderaan tenaga bersih terus berkembang dengan pesat.
Ia juga mengumumkan rancangan untuk melabur 109.4 trilion won (AS$85 bilion) dari 2023 hingga 2032 untuk memberi tumpuan kepada perniagaan masa depan, seperti pemanduan autonomi, hidrogen, robotik dan mobiliti udara termaju.
Pengeluar kereta Korea Selatan itu merupakan salah satu yang terbesar di dunia, yang menghadapi tekanan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah bagi meningkatkan pengeluaran tempatan kenderaan bersih dan mengurangkan pergantungannya terhadap komponen buatan China dan mineral bateri.
Cip, yang telah menjadi komponen penting bagi kenderaan moden, menjadi terhad apabila pandemik COVID menutup kilang di China dan tempat lain di Asia, menyebabkan kekurangan yang baru-baru ini sedang diatasi oleh rantaian bekalan.
Hyundai menyasarkan untuk “mencapai peralihan yang berjaya kepada elektrifikasi dengan memanfaatkan pengalaman panjangnya dalam pengeluaran dan penjualan kenderaan secara cekap dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.
“Dengan permintaan EV global berkembang lebih cepat daripada ramalan pasaran, Hyundai Motor meningkatkan sasaran jualan 2030 daripada 1.87 juta unit kepada dua juta unit,” tambahnya. – AFP


