Wednesday, March 26, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hyundai umum pelaburan baharu bernilai AS$21 bilion di AS

    WASHINGTON, 25 MAC – Gergasi automotif Korea Selatan, Hyundai kelmarin mengumumkan pelaburan berbilion dolar di Amerika Syarikat (AS), termasuk sebuah kilang keluli baharu bernilai AS$5.8 bilion.

    Kilang tersebut, yang akan dibina di negeri Louisiana, AS, ‘akan mewujudkan 1,300 pekerjaan untuk rakyat Amerika,’ kata Pengerusi Eksekutif Hyundai, Euisun Chung kepada pemberita dalam satu acara di Rumah Putih bersama Presiden Donald Trump.

    Dia menambah bahawa langkah tersebut juga akan berfungsi sebagai asas kepada rantaian bekalan automotif yang lebih berdikari dan selamat di AS.

    Pengumuman Hyundai menjadikannya syarikat terbaharu yang merancang untuk melabur berbilion dolar di AS sejak Donald Trump kembali berkuasa pada Januari.

    Presiden AS itu berulang kali mengancam untuk mengenakan tarif yang tinggi ke atas syarikat yang tidak memindahkan pekerjaan pembuatan ke AS dari luar negara.

    Sebagai tindak balas, syarikat domestik dan asing, termasuk Apple dan Oracle telah mengumumkan rancangan untuk melabur beratus bilion dolar dalam projek-projek di AS dalam tempoh empat tahun akan datang.

    “Kereta kini memasuki negara ini pada kadar yang belum pernah dilihat sebelum ini,” kata Trump kepada pemberita kelmarin.

    Pelaburan ini adalah ‘satu bukti jelas bahawa tarif benar-benar berkesan,’ tambahnya.

    “Hyundai akan menghasilkan keluli di Amerika dan mengeluar keretanya di Amerika dan hasilnya, mereka tidak perlu membayar sebarang tarif,” tambahnya. – AFP

    Papan tanda Hyundai kelihatan di luar sebuah kedai pengedar kereta pada 24 Mac di Miami, Florida. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda