KUCHING, 2 MEI – Kolej Universiti i-CATS (iCats) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bagi melaksanakan pelbagai program serta latihan dalam bidang kejuruteraan dan teknikal.
iCats diwakili Naib Canselor Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi manakala JKR Sarawak diwakili pengarahnya Dr Cassidy Morris.
JKR Sarawak dalam kenyataan memaklumkan jaringan strategik itu termasuk mengadakan program latihan industri, penyelidikan bersama, pemindahan ilmu serta pembangunan kapasiti melibatkan kedua-dua bidang.
“Usaha ini dijangka dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan serta menyumbang kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi di negeri ini.
“MoU ini menandakan permulaan kerjasama rasmi antara sebuah institusi pendidikan tinggi dengan agensi teknikal utama negeri dalam pembangunan kejuruteraan dan infrastruktur Sarawak,” menurut kenyataan itu. – Bernama
