Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JAN – Dalam meraikan tahun baharu 2020, Restoran I Say Yatta memberikan potongan 50 peratus bagi semua barangan mereka sebagai tanda penghargaan terima kasih kepada pengikut setia di kedua-dua cawangannya di Serusop dan Kiulap, pada hari ini.
Sejak awal Disember 2019, I Say Yatta membuat janji dengan pengikut dalam media sosial, untuk mencapai 20,000 pengikut menjelang 2020 agar mereka dapat memberi ganjaran kepada semua orang dengan diskaun 50 peratus.
Restoran berkenaan turut mengadakan kempen lain untuk meningkatkan kesedaran jenama iaitu empat pilihan minuman Yatta! pada satu harga untuk pengikutnya. Sejak kempen tersebut, jumlah pengikut meningkat daripada 13,300 kepada 15,500 dalam tempoh kurang dari sebulan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan restoran berkenaan, walaupun pada masa ini mereka hampir mencapai 16,000, mereka masih berterima kasih kepada pengikut yang menyokong I Say Yatta sepanjang acara tersebut.
“Kami ingin mewujudkan kesedaran kepada masyarakat kita bahawa I Say Yatta bukan hanya jenama tempatan, tetapi juga jenama itu sendiri ditubuhkan di Brunei,” tambah kenyataan.
I Say Yatta merupakan jenama tempatan yang ditubuhkan pada Mac 2017 dan menawarkan menu yang diilhamkan dari Jepun yang mudah dan mesra untuk memuaskan keinginan pelanggan.
I Say Yatta juga mengongsikan bahawa jenama mereka akan membuat pencapaian terbaharu pada 2020, dengan pembukaan cawangan di I-City, Shah Alam, Malaysia.
Mereka akan memaklumkan mengenai pembukaannya melalui media sosial apabila tiba masanya.