Tuesday, February 18, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    I Synergy sedia pelan pengembangan serantau

    KUALA LUMPUR, April 7 – Syarikat teknologi berpangkalan di Malaysia, I Synergy Group Ltd, yang mula disenaraikan di Bursa Saham Australia (ASX) minggu lepas, menyediakan pelan pengembangan yang akan menjadikannya aktif selama beberapa tahun akan datang.

    Syarikat itu yang ditubuhkan pada 2008, memiliki platform pemasaran proprietari gabungan, Affiliate Junction, digunakan oleh pengiklan dalam industri pemasaran untuk berhubung dengan anggota gabungan dan memudahkan pembayaran komisen daripada pengiklan kepada anggota gabungan.

    Pengarah Urusan/ Ketua Pegawai Eksekutif I Synergy Datuk Lawrence Teo berkata kumpulan berjaya mengumpul kira-kira A$3.7 juta (A$1 = RM3.35) daripada tawaran awam permulaan (IPO) ASX yang akan digunakan untuk pengembangan, membangunkan teknologi baru dan sedia ada serta aktiviti promosi.

    Beliau berkata antara 35 dan 40 peratus daripada hasil (A$400,000) daripada IPO itu akan diperuntukkan untuk pengembangan serantau seperti di Filipina yang menjadi sasaran syarikat pada masa ini, Australia, Thailand dan Indonesia.

    “Kami kini dalam proses menjalankan penyelidikan pasaran kami di Filipina dan kami melihat e-dagang digunakan secara meluas di sana. Kami melihat permintaan yang kian berkembang dan mungkin akan menubuhkan pejabat serantau menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan,” katanya kepada Bernama.

    Syarikat telah menubuhkan pejabat serantau di Australia dan Indonesia dengan hasrat untuk melancarkan Affiliate Junction di negara-negara tersebut.

    Sebahagian daripada dana itu juga akan digunakan untuk penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan sistem syarikat, kata Teo. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda