Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – Pasukan i-Team berazam untuk mempamerkan aksi mantap dan kemampuan mereka untuk bersaing dalam perlawanan separuh akhir Kejohanan Piala Persatuan Bola Sepak Veteran Brunei Darussalam DST 2018 menentang Pasukan XN FT yang akan berlangsung Ahad ini di Padang Kompleks Sukan Tutong.
Perkara itu ditegaskan oleh Pengurus Pasukan I-Team, Haji Abdul Rahman bin Haji Ali ketika dihubungi wartawan Media Permata mengenai persiapan mereka dalam perlawanan itu.
“Setiap pasukan di perlawanan separuh akhir perlukan kemenangan namun kita perlu melihat kemampuan persaingan kita dan tidak memandang mudah cabaran dalam perlawanan ini kerana pasukan lawan adalah sebuah pasukan yang mantap dan berpengalaman,” kata beliau yang menjangkakan aksi sengit dalam perlawanan itu.
Haji Abdul Rahman juga mengharapkan pemain-pemain perlu bekerja keras dan berusaha memperbaiki setiap gerakan permainan nanti dan menumpukan perhatian dan fokus pada perlawanan.
Beliau juga menambah bahawa perlawanan ini adalah ujian terbesar dan merupakan satu peluang untuk para pemain menunjukkan kemampuan sebenar.

“Saya percaya semua pemain sudah bersedia untuk mencipta sesuatu dan menunjukkan kebolehan mereka dalam mengorak gerakan dan rentak permainan yang terbaik di atas padang nanti,” tambahnya.
Sementara itu, beliau menyatakan syabas dan tahniah kepada pihak penganjur kerana berjaya menganjurkan tiga kejohanan besar pada tahun ini.
“Kejohanan ini merupakan satu kejohanan bola sepak di Brunei yang tidak asing lagi dalam sukan bola sepak mengikut kategori umur, namun pihak penganjur perlu konsisten dalam memberikan penjadualan perlawanan,” katanya sambil berharap supaya penganjuran kejohanan ini dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan.
Selain itu, Awang Haji Abdul Rahman juga memuji pihak penganjur kerana kejohanan ini telah membuka ruang dan menjadi platform yang sangat memberangsangkan untuk melibatkan dan menampilkan pemain-pemain veteran yang masih bergiat aktif dalam perlawanan bola sepak.