IAAF: Nasib Rusia ditentukan Disember ini

BUENOS AIRES, 11 Okt – Presiden Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), Sebastian Coe mengesahkan keputusan sama ada hukuman penggantungan ke atas Rusia akan ditarik semula hanya akan dibuat pada Disember ini.

Bagaimanapun, Coe mengakui pihaknya masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat, bagi menilai sepenuhnya sama ada Agensi Anti Doping Dunia (WADA) berhak menarik semula hukuman penggantungan tiga tahun ke atas agensi antidoping Rusia.

Hukuman penggantungan itu mula dikenakan sejak 2015 selepas kementerian sukan Rusia didapati bersalah mendalangi institusi doping negara berkenaan. Kini, tumpuan terarah kepada Coe untuk membenarkan Rusia kembali beraksi apabila Jawatankuasa IAAF bertemu di Monaco pada 4 Disember ini. Apabila ditanya sekiranya terdapat sebarang keputusan mengenai pengembalian semula hak, Coe berkata: “Iya, kemungkinan.” – AFP