Sunday, July 27, 2025
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    IAEA lapor serangan AS kepada UNSC

    NEW YORK, 23 JUN – Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Grossi menggambarkan keadaan tiga kemudahan nuklear Iran yang disasarkan dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kelmarin.

    Menurut Grossi pada mesyuarat tergempar di New York, kesan kawah letupan dapat dilihat di kemudahan pengayaan uranium bawah tanah Fordow, lapor agensi berita Jerman (dpa). Kemudahan itu secara meluas dipercayai antara sasaran paling kritikal Israel dalam perang yang tercetus sejak 13 Jun lalu.

    “Pada masa ini, tiada pihak – termasuk IAEA – dapat menilai tahap kerosakan di bahagian bawah tanah Fordow,” katanya.

    Di Isfahan, pintu masuk ke terowong yang dipercayai digunakan untuk menyimpan bahan uranium turut menjadi sasaran serangan, kata Grossi. Sementara itu, di tapak ketiga iaitu di Natanz, satu lagi kemudahan pengayaan uranium dilaporkan terkena serangan.

    Grossi memaklumkan bahawa Iran menjelaskan kepada IAEA bahawa tiada peningkatan kadar radiasi dikesan di luar ketiga-tiga lokasi terbabit.

    Sehubungan itu, beliau menggesa Iran membenarkan pemeriksa IAEA memasuki kemudahan terlibat bagi menjalankan penilaian lanjut.

    Beliau turut merayu agar semua pihak kembali ke meja rundingan dan diplomasi dalam tempoh yang beliau sifatkan sebagai ‘peluang yang masih terbuka’.

    “Jika peluang ini tertutup, keganasan dan kemusnahan mungkin meningkat ke tahap yang tidak dapat dibayangkan dan pengawalan nuklear global seperti yang kita kenal hari ini boleh runtuh,” tegasnya. – Bernama

    Rafael Grossi tiba untuk menghadiri mesyuarat luar biasa Lembaga Gabenor IAEA di Vienna, Austria, pada 23 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda