Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Ian hentam Cuba, tuju Florida

    HAVANA, 27 SEPT – Hurikan Ian menghentam barat Cuba hari ini sebagai hurikan besar, meningkat kepada taufan Kategori 4 yang membinasakan sebelum ia melanda Florida pada Rabu.

    Ian mendarat pada jam 4:30 waktu tempatan hari ini di wilayah Punar del Rio, Cuba di mana pegawai telah pun membina 55 buah kem perlindungan, memindahkan 50,000 orang, mengerahkan kakitangan kecemasan dan mengambil langkah melindungi tanaman utama Cuba yang semakin pesat, tembakau, di kawasan itu.

    Pusat Hurikan Kebangsaan AS mengatakan ‘angin kencang dan ombak besar’ berlaku pada pagi ini di barat Cuba. Ian membawa angin kencang selaju 205 kilometer sejam (kmsj) dan ombak setinggi 14 kaki diramalkan berlaku di sepanjang pesisir pantai Cuba.

    Ian juga diramalkan bertambah kuat ketika melepasi perairan hangat Teluk Mexico, mencecah sehingga 225 kmsj sebelum mendarat lagi. Taufan kencang dijangka sampai ke Florida lewat hari ini, mencecah kekuatan hurikan pada pagi esok.

    “Buat masa sekarang kita memfokuskan barat tengah Florida sebagai kawasan utama bagi impaknya,” kata pakar hurikan, Andy Latto memberitahu The Associated Press hari ini.

    “Ini adalah benar-benar hurikan besar,” kata Gabenor Florida, Ron DeSantis, memberi amaran kerosakan di seluruh negeri itu.

    Beratus-ratus penduduk Florida berdepan arahan pemindahan mandatori ketika pusat itu meluaskan amaran hurikan ke Bonita Beach ke utara melalui Tampa Bay sehingga Anclote River.

    Meskipun pusat hurikan Ian telah melepasi barat Cuba, kekuatan angin taufan tropika itu melepasi 185km dengan ibu negara Cuba dilanda hujan dan angin kencang pada pagi ini.

    Penduduk Havana bimbang banjir akan melanda selepas taufan, dengan pekerja bersiap sedia memastikan sistem perparitan tidak tersumbat dan nelayan memindahkan bot mereka dari perairan. – AP

    Pekerja mengalihkan sebuah bot dari perairan kerana khuatir rosak akibat hurikan Ian yang melanda Cuba dan menuju Florida. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    6 maut dalam kebakaran restoran, hotel

    PATNA, 26 APRIL — Kebakaran besar yang melanda sebuah restoran dan hotel di timur India kelmarin membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan 20 orang,...