BANGKOK, 30 OKT – Potensi penerbangan Thailand adalah menggalakkan dengan jumlah penumpang dijangka mencatat kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 3.88 peratus dari 2024 hingga 2043, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Naib Presiden Serantau IATA bagi Asia Utara dan Asia Pasifik (pemangku), Dr Xie Xingquan berkata dengan tarikan pelancongan bertaraf dunia serta persekitaran perniagaan serantau yang berkembang, Thailand berada dalam kedudukan yang baik untuk menjadi 15 pasaran penerbangan global teratas dalam tempoh dua dekad akan datang.
“Permintaan telah pun mencapai 88 peratus daripada paras 2019, dan kami boleh menjangkakan pertumbuhan sebenar bermula pada 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, sambil menggesa Thailand memperkukuh asas sektor penerbangannya ketika negara itu pulih daripada kesan pandemik COVID-19.
“Dengan 84 peratus pelancong ke Thailand tiba melalui udara sebelum pandemik, kepentingan penerbangan kepada sektor ekonomi penting ini – yang merangkumi 7.4 peratus daripada KDNK sebelum COVID – adalah jelas. Menyokong sektor pelancongan harus menjadi keutamaan,” katanya.
IATA berpandangan bahawa beban cukai yang rendah adalah penting untuk mengekalkan kedudukan utama Thailand dalam sektor pelancongan dan MICE (mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran) di Asia dan untuk mengukuhkan Bangkok sebagai hab serantau.
“Daripada mengkaji semula idea cukai pelancongan yang boleh menjejaskan permintaan penumpang, kerajaan seharusnya meneroka jalan untuk mengembangkan sektor itu dengan mengurangkan kos,” kata Xie. – Bernama