KUALA LUMPUR, 20 MEI – Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengetengahkan pelan hala tuju yang menggariskan pelaksanaan langkah berperingkat bagi bio-keselamatan untuk memulakan semula sektor penerbangan susulan krisis COVID-19.
Ketua Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Alexandre de Juniac berkata pelan terbabit bermatlamat untuk menyuntik keyakinan yang diperlukan oleh kerajaan bagi membuka semula sempadan masing-masing untuk tujuan perjalanan udara serta menarik semula penumpang terbabit.
Beliau menegaskan, tiada sebarang pendekatan yang dapat mengurangkan risiko dan membolehkan permulaan semula penerbangan secara selamat namun pelaksanaan pendekatan secara berperingkat di peringkat global dan dipersetujui kerajaan-kerajaan, mampu mencapai hasil yang diperlukan.
“Ini merupakan krisis paling hebat yang pernah dihadapi sektor penerbangan. Pendekatan berperingkat ini terbukti dapat seiring dengan keselamatan dan sekuriti. Malah, ia adalah langkah ke hadapan bagi aspek biosekuriti juga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pelan itu antara lainnya menggariskan langkah ketika pra-penerbangan, tindakan di lapangan terbang berlepas, dalam penerbangan dan ketibaan di lapangan terbang destinasi.
Ketika pra-penerbangan itu, IATA berkata adalah pen-ting untuk kerajaan melakukan langkah pengambilan data penumpang lebih awal sebelum penerbangan seperti maklumat kesihatan.
Ini diperolehi menerusi saluran yang telah diuji seperti untuk program eVisa atau kebenaran bagi tujuan perjalanan.
“Di balai berlepas, beberapa tapisan langkah perlindungan perlu dilaksanakan seperti mengambil suhu badan, sekatan terhadap akses, penjarakan sosial, penggunaan penutup muka dan hidung, pilihan khidmat layan diri untuk daftar masuk dan sistem menaiki pesawat yang berkesan.
“Sewaktu dalam pesawat, IATA turut menjangkakan pelaksanaan langkah seperti servis kabin yang dipermudah, katering atau sajian makanan yang dibungkus lebih awal bagi mengurangkan interaksi antara penumpang dan anak kapal, meningkatkan pembersihan terperinci di kabin dan mengurangkan kemungkinan penumpang berkumpul di kabin,” katanya. – Bernama