KUALA LUMPUR, 27 Feb – Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyasar satu bilion penumpang akan terbang menggunakan pesawat yang dikuasakan oleh gabungan bahan api jet dan bahan api penerbangan lestari (SAF) menjelang 2025.
Dalam satu kenyataan hari ini, IATA berkata aspirasi ini dikenal pasti pada ulang tahun kesepuluh penerbangan pertama yang menggabungkan bahan api penerbangan lestari dan bahan api jet biasa.
“Pada 24 Februari 2008, Boeing 747 Virgin Atlantic melakukan penerbangan dari London ke Amsterdam menggunakan bahan api penerbangan lestari bagi salah satu enjinnya. Penerbangan itu menunjukkan daya maju, dan boleh digabungkan dengan bahan api jet tradisional, menggunakan infrastruktur lapangan terbang sedia ada.
“Penerbangan sepenuhnya dikuasakan oleh bahan api lestari, berpotensi mengurangkan pelepasan karbon penerbangan sehingga 80 peratus,” katanya.
Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac, berkata sasaran itu agak sukar, dan oleh itu IATA memerlukan kerajaan menetapkan rangka kerja untuk menggalakkan pengeluaran SAF selain memastikan ia menarik untuk menghasilkan bio bahan api automotif.
“Momentum untuk bahan api penerbangan lestari kini tidak lagi boleh dihalang. Bermula dengan satu penerbangan pada 2008, kami melepasi had 100,000 penerbangan pada 2017. Kami menjangkakan dapat mencecah satu juta penerbangan pada 2020. Namun ini hanya jumlah yang kecil berbanding dengan angka yang hendak kami capai,” katanya. – Bernama