MEKAH, 10 JUN – Ibadah haji 2025 (1446H) berakhir tanpa sebarang insiden, menjadikannya antara musim haji paling selamat dan terurus dengan cekap dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menurut Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.
Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Saud bin Naif berkata kejayaan penganjuran haji tahun ini adalah hasil perancangan awal, pelaksanaan tepat, pemantauan berterusan serta tahap kesedaran tinggi dalam kalangan jemaah.
“Kejayaan ini dicapai menerusi usaha keselamatan yang luar biasa dan penggunaan teknologi terkini,” katanya dalam kenyataan susulan selesai pelaksanaan ibadah haji yang berjalan lancar tanpa insiden atau kesesakan.
Menurut kementerian itu, musim haji kali ini disifatkan dengan pengurusan rapi, perkhidmatan kesihatan yang canggih, pergerakan jemaah yang lancar serta
suasana yang selamat – dengan warganet Arab Saudi menyifatkannya sebagai ‘haji tanpa insiden’.
Kementerian berkenaan menyatakan bahawa kejayaan ini mencerminkan gabungan antara perancangan proaktif, teknologi pintar dan kesiapsiagaan keselamatan yang mantap, sekali gus mengukuhkan kedudukan Arab Saudi sebagai peneraju global dalam pengurusan orang ramai serta kecekapan dan inovasi dalam menganjurkan antara perhimpunan keagamaan terbesar di dunia. – Bernama
