Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ibadah korban pupuk semangat pengorbanan dalam diri

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Bagi memberikan pemahaman mendalam mengenai konsep serta hukum ibadah korban, selain menyemai nilai pengorbanan dalam diri umat Islam, Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba, Gadong, telah mengungkayahkan forum bertemakan Kelebihan Ibadah Korban bertempat di masjid berkenaan kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

    Forum berkenaan disasarkan kepada ahli jawatankuasa takmir masjid, muslimah masjid serta jemaah masjid dari Daerah Brunei dan Muara, dengan objektif utama untuk memberi pendedahan berkenaan kelebihan dan ganjaran melaksanakan ibadah korban serta memupuk semangat pengorbanan demi agama, bangsa dan negara.

    Forum berkenaan menampilkan ahli-ahli panel yang berpengalaman dalam bidang keagamaan dan pendidikan iaitu Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas, Haji Fansuri @ Mansur bin Mohamad Ali, merangkap Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, dan Pegawai Pelajaran, Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Haji Sammali bin Haji Adam. Moderator forum pula ialah Imam Surau Polis Gadong, Awang Mohamad Yusri bin Haji Abu Bakar.

    Antara lain, forum berkenaan turut memberi pencerahan kepada para peserta mengenai pengorbanan besar Nabi Ibrahim AS dalam melaksanakan perintah Allah SWT serta menggalakkan masyarakat untuk menyertai ibadah korban setiap tahun. Di samping itu, ia juga bertujuan memupuk semangat kerjasama dan bergotong-royong dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

    Turut hadir ialah Ketua Kampung Kampung Rimba 1 dan Pemangku Penghulu Mukim Gadong ‘A’, Awang Puspawira bin Haji Md Noor; Pemangku Ketua Kampung Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati, Kampung Rimba 2; Yang Mulia Awang Ismail bin Haji Suhaili; Pemangku Ketua Kampung Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati, Kampung Rimba 1, Awang Abdul Timbang @ Rosli bin Haji Timbang; serta Pemangku Ketua Kampung Kampung Rimba 2, Awang Abdul Manap bin Haji Amit.

    Majlis seumpamanya diharap dapat menyemarakkan lagi kefahaman umat Islam terhadap kepentingan ibadah korban serta mengukuhkan jati diri Muslim melalui nilai pengorbanan yang dituntut oleh agama.

    Barisan panel forum yang mengongsikan berkenaan kelebihan ibadah korban dalam majlis berkenaan.
    Turut hadir selaku tetamu kehormat ialah Haji Amir Hisham dalam majlis tersebut.
    Antara jemaah muslimah yang turut hadir ke forum berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda