Oleh Syahmi Hassan, Daniel Lim, Yusrin Junaidi & Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Sambutan Hari Raya Aidiladha di negara ini terus dimeriahkan dengan majlis-majlis ibadah korban yang dikendalikan oleh pelbagai pihak termasuk kementerian-kementerian kerajaan.
Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) pada hari ini telah mengadakan majlis pengagihan daging korban di Daerah Belait yang berlangsung di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman bersama isteri, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi.
Empat ekor kerbau dan seekor kambing telah dikorbankan bagi majlis berkenaan dan dagingnya diagihkan kepada 85 orang perwakilan daripada keluarga asnaf di daerah berkenaan di samping tetamu lain.
Seramai 34 keluarga asnaf fakir miskin yang terdiri daripada keluarga yang kurang berkemampuan di kawasan Kampung Masin pula telah menerima agihan daging korban anjuran Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) bersama anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITHSB) dan Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB) di Masjid Kampung Masin, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB yang turut sama-sama menyempurnakan pengagihan daging korban.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Timbalan Pengerusi Perbadanan TAIB.
Majlis ibadah korban tahun ini adalah hasil daripada penyertaan warga serta keluarga Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, di mana tiga ekor kerbau telah dikorbankan, sementara enam ekor kerbau lagi telah disumbangkan daripada Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya turut disedekahkan kepada mereka yang berkenaan.
Sementara itu, kelmarin, Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Perancangan dan Pengurusan Estet dan Jabatan Pendidikan Swasta telah mengendalikan majlis ibadah korban yang berlangsung di Dewan Pusat Tingkatan Enam (PTE) Sengkurong, Kampung Mulaut di mana tujuh ekor kerbau dikorbankan hasil daripada penyertaan 49 orang pegawai dan kakitangan serta keluarga kementerian itu.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri
Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Seramai 60 orang menerima agihan daging ibadah korban pada majlis itu yang
terdiri daripada penuntut-penuntut dari PTE Sengkurong, Sekolah Menengah Sayyidina Hassan dan Sekolah Menengah Masin.
Majlis diserikan lagi dengan ceramah khas bertajuk ‘Ibadah Korban Mengukuh Ketaqwaan’ yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran, Bahagian Kegiatan Kerohanian, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Haji Sammali bin Haji Adam.
Dalam pada itu, enam ekor kerbau telah dikorbankan pada majlis ibadah korban bagi Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan jabatan-jabatan serta pihak-pihak berkuasa di bawahnya, yang diadakan di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, kelmarin.
Hadir bagi menyempurnakan pengagihan daging-daging korban ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Daging-daging korban tersebut telah diagihkan kepada 151 penerima terdiri daripada golongan asnaf di bawah tadahan Mukim Berakas, Daerah Brunei dan Muara, anak-anak yatim dan warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan jabatan-jabatan serta pihak-pihak berkuasa di bawahnya.
Majlis turut diserikan dengan ceramah khas bertajuk ‘Yang Sampai Hanyalah Taqwa’ yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, KHEU, Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid.
Manakala itu, seramai 269 orang yang dari Mukim Kilanas telah menerima agihan daging korban pada majlis anjuran bersama Jabatan Mufti Kerajaan (JMK), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), di Ruang Legar, Bangunan Darulifta’, JMK, JPM, kelmarin.
Bagi tahun ini, enam ekor kerbau dan dua ekor sapi di-sembelih untuk ibadah korban dan diagihkan kepada para penerima.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Pada majlis itu, Yang Berhormat Mufti Kerajaan dan Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid telah menyempurnakan pengagihan daging korban kepada 87 ketua keluarga.
Turut hadir ialah Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin; Penolong Mufti (Buhuth), Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusof dan Pemangku Penolong Mufti (Ifta’) serta pegawai dan kakitangan dari kedua-dua institusi berkenaan.