Saturday, September 28, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ibadah korban terus dilaksana

    Oleh Salawati Haji Yahya, Daniel Lim, Yusrin Junaidi & Syahmi Hassan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Sambutan Hari Raya Aidiladha di Negara Brunei Darussalam telah memasuki hari ketiga, hari ini, dan banyak pihak yang tidak melepaskan peluang ini untuk melaksanakan ibadah korban.
     
    Institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) juga tidak ketinggalan menyemarakkan sambutan tahun ini dengan majlis ibadah korban, kelmarin.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang diadakan di Dewan Ar-Rayyan, Kampus Sinaut UNISSA itu ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.
     
    Pada tahun ini, tiga ekor kerbau dikorbankan dan seterusnya diagihkan kepada 48 orang fakir miskin dari Mukim Keriam, Daerah Tutong dan warga UNISSA pada majlis berkenaan. 
     
    Majlis diserikan dengan tazkirah khas yang disampaikan oleh Penolong Profesor dari Fakulti Usuluddin, Dr Haji Ahmad Baha bin Haji Mokhtar.
     
    Dr Haji Norarfan hadir bersama tetamu lain pada majlis yang berlangsung di Dewan Ar-Rayyan, Kampus Sinaut UNISSA. – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    Penuntut-penuntut IBTE SBC yang mengambil bahagian memotong daging korban. – GAMBAR SERAHAN IBTE SBC
    Dr Suhaimi menyampaikan daging korban kepada salah seorang penerima. – GAMBAR SERAHAN IBTE SBC
    Profesor Madya Dr Abdul Nasir menyempurnakan pengagihan daging korban kepada salah seorang penerima. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Pengiran Dato Paduka Haji Zaini mengagihkan daging korban pada majlis yang diadakan di rumah Ketua Kampung Sungai Buloh. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Haji Junaidi menyampaikan agihan daging korban pada majlis yang diadakan di di Balai Ibadat PPNBD. – GAMBAR SERAHAN PPNBD
    Antara pelajar KUPU SB yang menyertai majlis korban yang diadakan. – GAMBAR SERAHAN KUPU SB
    Sebuah lagi IPT yang mengadakan majlis serupa adalah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) di mana dua ekor kerbau telah dikorbankan dan diagih-agihkan kepada seramai 25 orang pelajar dan warga KUPU SB.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan pengagihan daging korban pada majlis yang berlangsung di Dewan Tarbiah, KUPU SB itu ialah Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.
     
    Turut menyemarakkan hari kebesaran Islam kali ini adalah Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) dengan majlis ibadah korban berlangsung di balai ibadat persekutuan itu.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Junaidi bin Haji Hussin.
     
    Bagi majlis tersebut, tiga ekor kerbau telah dikorbankan dan daging-daging korban telah diagihkan kepada 21 orang penerima dalam kalangan fakir miskin, orang ramai dan peserta yang menyertai ibadah korban.
     
    Sementara itu, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Buloh, hari ini, buat julung kali telah diberikan amanah mengendalikan ibadah korban dan akikah yang berlangsung di rumah Ketua Kampung Sungai Buloh.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengiran Dato Paduka Haji Zaini bin Pengiran Haji Kamaludin.
     
    Seramai 21 orang ikut serta dalam majlis berkenaan dengan daging korban turut diagih-agihkan kepada seramai 42 orang asnaf. 
     
    Di Daerah Belait, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Bolkiah (SBC) turut mengadakan majlis ibadah korban di kampusnya yang terletak di Seria, di mana lima ekor kerbau dikorbankan.
     
    Para pelajar kampus, tenaga pengajar dan kakitangan mengambil bahagian memotong, menyediakan dan membungkus daging korban ke dalam pek untuk diagihkan kepada warga kampus pada akhir acara oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengetua Satelit IBTE, Dr Suhaimi bin Haji Abdul Wahab.
     
    Selain IPT dan persatuan-persatuan, orang persendirian juga mengadakan majlis berkenaan bagi meraih ganjaran pahala, seperti yang diketuai oleh Haji Kadir bin Haji Suhaili dan keluarganya yang diadakan di kediaman mereka, bersama jiran dan sukarelawan.
     
    Mereka telah mengadakan majlis ibadah korban selama dua hari di mana kumpulan itu menyembelih lapan ekor kerbau dan lima ekor kambing pada hari pertama, diikuti dengan tujuh ekor kerbau lagi pada hari kedua.
     
    Daging-daging korban telah diagihkan kepada para penerima yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan yang tersenarai di bawah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) yang tinggal di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan C dan Perumahan Kampung Panaga.
     
    Ketua Kampung RPN Kampung Pandan C, Haji Affandy bin Awang Damit telah hadir untuk menyempurnakan pengagihan daging korban kepada para penerima pada majlis tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda