Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ibadah korban terus dilaksana

    Oleh Yusrin Junaidi & Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Ibadah korban merupakan satu amalan sunat yang amat dituntut dalam Islam sebagai tanda kesyukuran atas segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT, serta sebagai usaha mendekatkan diri kepada-Nya.

    Majlis Perundingan Kampung (MPK) Subok hari ini telah menganjurkan majlis ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini di rumah kediaman Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat yang juga Ketua Kampung Subok.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Takbir Hari Raya dan doa yang dipimpin oleh Ketua Biro Keagamaan, MPK Subok, Awang Mohamad Norazlee Roslee.

    Sebanyak dua ekor kerbau telah dikorbankan oleh 14 orang peserta majlis ibadah korban tersebut.

    Acara kemudiannya diteruskan dengan pengagihan daging-daging korban oleh Yang Berhormat Awang Lawi kepada anak-anak yatim, ibu tunggal dan asnaf fakir miskin di kampung tersebut.

    Sesi pengagihan daging korban di perkarangan Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong pagi kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Yang Berhormat Awang Lawi semasa menyampaikan agihan daging-daging korban kepada para penerima pada majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN MPK SUBOK
    Awang Misle semasa menyerahkan daging korban kepada penerima. – GAMBAR SERAHAN AJK TAKMIR MASJID AN-NA’IM
    Yang Di-Pertua PPNBD menyerahkan daging korban kepada salah seorang penerima. – GAMBAR SERAHAN PPNBD
    Aktiviti memucang-mucang dan melapah daging korban. – GAMBAR SERAHAN MPK BERSERUMPUN KAWASAN 4 RPN KAMPUNG PANCHOR, MUKIM MENTIRI
    Pengetua SM Berakas semasa menyampaikan daging korban kepada salah seorang pelajar. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Majlis serupa turut dilaksanakan hari ini oleh MPK Berserumpun Kawasan 4 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor, Mukim Mentiri, di kediaman Pemangku Penghulu Mukim Mentiri merangkap Ketua Kampung Kawasan 4 RPN Kampung Panchor, Awang Faidil Rosemady bin Mohamad.

    Acara turut diserikan dengan aktiviti memucang-mucang dan melapah daging korban.

    Kemudian daging-daging korban tersebut diagihkan secara pandu lalu kepada para peserta korban serta golongan asnaf. Penyampaian daging disempurnakan oleh Awang Faidil Rosemady, yang turut mengetuai bacaan Takbir Raya dan Doa Kesyukuran sebagai penutup majlis.

    Sementara itu, Sekolah Menengah (SM) Berakas melalui Bahagian CCA, Unit Kaunseling dan Unit kerjaya hari ini telah menyaksikan seekor kerbau telah dikorbankan oleh empat peserta terdiri daripada guru dan tiga orang ahli keluarga warga sekolah.

    Hadir bagi menyempurnakan sesi penyampaian agihan daging korban berkenaan ialah Pengetua SM Berakas, Hajah Norhashimah binti Haji Burut kepada 21 pelajar terdiri daripada golongan pelajar Tahun 11 yang berhak menerima bantuan di sekolah tersebut.

    Manakala, ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong dengan kerjasama Muslimah Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong dan Sukrelawan Belia Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong pagi tadi menyaksikan 10 ekor kerbau telah dikorbankan oleh 70 peserta meliputi korban wajib, korban sunat dan aqiqah pada majlis yang berlangsung perkarangan Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong pagi tadi.

    Seramai 188 orang terdiri daripada golongan asnaf fakir miskin dari Kampung Sengkurong A, Sengkurong B, Kampung Selayun dan Kampung Tagap serta Kampung Tanjung Nangka telah menerima agihan daging korban masing-masing yang disempurnakan oleh Penghulu Mukim Sengkurong. Selain itu, orang ramai yang hadir juga menerima agihan daging korban mereka pada majlis tersebut.

    Turut menyemarakkan hari kebesaran Islam buat julung kalinya adalah AJK Takmir Masjid An-Na’im, Kampung Panchor Mengkubau di masjid berkenaan kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Misle bin Haji Abdul Karim

    Turut hadir ialah Pengarah Hal Ehwal Syariah, KHEU, Haji Suhaimi bin Haji Gemok selaku penasihat AJK Takmir Masjid An-Na’im; ketua-ketua kampung dan pemangku ketua-ketua kampung Kawasan 1 hingga 5, RPN Kampung Panchor Mengkubau dan penduduk kampung serta jemputan khas.

    Pada majlis itu, sebanyak enam ekor kerbau telah dikorbankan, hasil sumbangan peserta korban dan aqiqah. Daging korban dan aqiqah itu telah diagihkan kepada 36 orang peserta serta asnaf-asnaf terpilih di kawasan kampung, sebagai tanda syukur dan keprihatinan masyarakat terhadap mereka yang memerlukan.

    Bagi Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) pula, Majlis Ibadah Korban diadakan di Balai Ibadat, Ibu Pejabat Pengakap, Berakas, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas sekali gus mengagihkan daging korban kepada yang berhak menerima.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan laungan takbir raya yang dipimpin oleh Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Keagamaan, Skip Haji Rosaimi bin Haji Othman.

    Turut serta dalam pengagihan tersebut ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Skip Haji Junaidi bin Hussin, bersama-sama barisan pemimpin dan ahli pengakap yang lain.

    Majlis berkenaan bukan sahaja melambangkan semangat pengorbanan dan keikhlasan dalam menyambut Hari Raya Aidiladha, malah menjadi platform mempererat ukhuwah serta memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli pengakap dan masyarakat sekeliling.

    Selain bertujuan untuk menyemarakkan keindahan Hari Raya Aidiladha, majlis berkenaan juga bertujuan untuk menyemai nilai-nilai murni dalam setiap yang terlibat sambil berkongsi rezeki bersama insan-insan yang memerlukan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda