Oleh Yusrin Junaidi, Sim Y.H., Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Seiring dengan semangat perpaduan, beberapa kementerian dan jabatan kerajaan di negara ini tidak melepaskan peluang untuk menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidiladha dengan menganjurkan Majlis Ibadah Korban.
Sambutan diteruskan lagi oleh Jabatan Mufti Kerajaan (JMK) dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), yang menyaksikan sebanyak lima ekor sapi, lima ekor kerbau dan seekor kambing telah disembelih, lalu diagihkan melalui Majlis Pengagihan Daging Korban yang diadakan di Ruang Legar, Bangunan Darulifta’, JMK, Jabatan Perdana Menteri, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin; Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid; penolong-penolong mufti, pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan dari kedua-dua buah institusi.
Pada tahun ini, seramai 257 orang asnaf dari Mukim Berakas ‘A’ telah dipilih untuk menerima agihan daging ibadah korban JMK dan RB.
Majlis Ibadah Korban yang dilaksanakan secara bersama ini, merupakan acara tahunan antara kedua-dua institusi tersebut, semenjak 25 tahun yang lalu lagi.
Sementara itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) pula telah mengadakan Majlis Ibadah Korban bagi KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya bertempat di Dewan Digadong, Bangunan KKBS, hari ini, yang menyaksikan sebanyak enam ekor kerbau telah dikorbankan.
Manakala seramai 303 orang penerima terdiri daripada penghuni Pusat Penempatan Sementara (PPS) dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), anak-anak yatim dan warga KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya telah menerima daging-daging korban berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Majlis diteruskan dengan penyempurnaan pengagihan daging korban oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan juga Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari.
Bagi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya hari ini telah mengadakan Majlis Ibadah Korban yang dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) selaku pengendali majlis bersempena dengan Sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini.
Majlis berkenaan berlangsung di Dewan Serbaguna, Tingkat 6, KHEDN.
Sehubungan itu, hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan.
Majlis diserikan dengan ceramah bertajuk Pengorbanan dalam Islam yang telah disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sallehuddin.
Majlis diteruskan dengan penyampaian daging korban kepada peserta-peserta ibadah korban dan juga kepada 50 orang penerima dalam kalangan pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya yang telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Dalam acara lain, menyaksikan seramai 60 orang penerima terdiri daripada kakitangan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) serta jabatan-jabatan di bawahnya telah menerima daging korban dalam satu Majlis Ibadah Korban sempena Hari Raya Aidiladha 1446H yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi acara itu ialah Setiausaha Tetap KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.
Majlis berkenaan dikendalikan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan merupakan sebahagian daripada aktiviti keagamaan tahunan kementerian sebagai tanda kesyukuran atas nikmat kurniaan Allah SWT serta usaha memupuk nilai keprihatinan dan silaturahim dalam kalangan warga kementerian.
Dengan pelaksanaan ibadah korban dari pelbagai sektor kerajaan, bukan sahaja semata-mata melibatkan pegawai dan kakitangan, malah turut membawa manfaat kepada masyarakat sekeliling menerusi agihan daging korban kepada golongan yang memerlukan.