Saturday, April 5, 2025
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Ibadah puasa satu pengalaman istimewa, bermakna’

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 APRIL – Ramadan sudah berakhir, kini kita sudah memasuki hari kelima Syawal dan ianya pasti satu pengalaman yang sangat istimewa dan bermakna bagi saudara baharu.

    Dalam berkongsi kesyukuran kerana dapat mengatasi cabaran berpuasa di sepanjang bulan Ramadan, media berpeluang menemu bual beberapa saudara baharu untuk berkongsi pengalaman mereka semasa menjalankan ibadah puasa.

    Awang Abdur Rauf bin Abdullah Lim @ Quan, 37, mengongsikan bahawa Ramadan tahun ini adalah tahun kedua beliau menjalankan ibadah puasa dan bersyukur kerana dapat menyempurnakan ibadah berkenaan dengan baik.

    Berbanding pada pengalaman pertama berpuasa selaku saudara baharu selepas memeluk agama Islam, beliau hanya mampu berpuasa setengah hari sahaja, dan ini juga disebabkan pertama kali menjalankan tugas di atas pelantar minyak seharian dengan waktu yang panjang.

    “Terus terang saya katakan, memang nikmat rasanya apabila dapat meminum air untuk berbuka puasa dan selepas itu memakan kurma. Saya tidak pernah rasa senikmat itu, inilah dikatakan nikmat apabila berpuasa,” jelasnya.

    Awang Abdur Rauf berkongsi pengalaman menjalani ibadah puasa. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Dayang Nur Liwany Daania semasa ditemu bual media. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Walaupun bertugas di pelantar minyak, beliau bersama-sama rakan yang lain juga mengadakan sembahyang tarawih di dalam kapal serta pengalaman pertama membayar zakat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara.

    Manakala Dayang Nur Liwany Daania binti Linggat, 25, mengongsikan bahawa Ramadan tahun ini adalah tahun kedua beliau menjalani ibadah puasa sebagai seorang Muslimah, satu pengalaman yang sangat bermakna buat dirinya.

    “Walaupun saya sudah pernah berpuasa sebelum memeluk Islam, tetap ada cabaran baharu yang dihadapi, antaranya bangun sahur walaupun agak sukar untuk bangun pada awalnya, tetapi lama-kelamaan saya belajar untuk tidur lebih awal,” jelasnya.

    Selain menahan lapar dan dahaga, beliau juga belajar tentang niat puasa, doa berbuka dan perkara yang membatalkan puasa.

    “Saya juga lebih memahami bahawa puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum tetapi juga menjaga tutur kata, perbuatan dan hati,” ujarnya.

    Walaupun beliau tidak pernah berpuasa setengah hari kerana sudah biasa berpuasa sebelum memeluk Islam, namun setelah memeluk agama Islam ibadah puasa yang dilakukan lebih bermakna kerana beliau melakukannya dengan penuh kesedaran sebagai satu bentuk ibadah dan ketaatan kepada Allah.

    Untuk Ramadan kali ini, beliau lebih bersedia dari segi mental dan fizikal selain lebih memahami hikmah berpuasa yang bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga lebih memahami maksud kesabaran, keikhlasan dan kepentingan ibadah dalam bulan Ramadan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda