(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Ibadat korban sangat-sangat dituntut untuk dilaksanakan bagi orang yang berkemampuan.
Ia merupakan bukti keikhlasan dan ketaqwaan seseorang kerana dalam ibadat korban itu antara hikmah pensyariatannya ialah mendekatkan diri kepada Allah SWT, melahirkan kesyukuran dengan nikmat yang diberikan, menggembirakan orang miskin dengan pemberian daging korban, di samping menambah amal kebajikan.
Dalam melaksanakan ibadat korban, di mana sahaja ianya dilakukan, pasti akan melibatkan perbelanjaaan wang dan harta benda. Ibadat korban yang dilakukan oleh seseorang di negeri lain bukan di negeri tempat dia berada, dalam hukum fiqh melibatkan hukum tertentu, iaitu memindah wang ke negeri lain. Melakukan korban di luar negeri terjadi kerana beberapa faktor, antaranya faktor harga binatang korban yang lebih murah di sesuatu tempat, faktor terdapat ramai bilangan fakir miskin di tempat berkenaan dan sebagainya.
Kadang-kala setelah berkorban di suatu negeri, sesetengah individu kemudian berhasrat untuk membawa atau memindah daging binatang korban itu kembali ke negeri di mana orang yang berkorban itu berada. Dalam perbincangan fiqh, perkara ini melibatkan hukum memindah daging korban ke negeri lain.
Dalam kedua-dua perkara ini, terdapat penjelasan hukum syarak mengenainya seperti berikut.
1. Memindah wang ke negeri lain.
Menurut ulama hukum memindah wang adalah harus. Apa yang dimaksudkan dengan memindah wang di sini ialah memindahkan wang daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli binatang korban.
Gambarannya ialah seseorang itu mahu melakukan ibadat korban di negeri Mekah umpamanya, dengan erti kata dia mahu membeli binatang korban dan seterusnya menyembelihnya di sana. Menurut pandangan ulama perkara ini adalah diharuskan.
Cara pembelian binatang korban pula, sama ada:
1) Orang yang hendak berkorban itu sendiri pergi ke luar negeri dan melaksanakan sendiri segala urusan korban dari awal pembelian binatang korban sehinggalah penyembelihannya.
2) Ataupun dia melantik wakil dan menyerahkan wang kepada wakil tadi untuk melaksanakan urusan yang dimaksudkan. Ini kerana menurut syarak, hukum wakalah (perwakilan) atau melantik wakil dalam ibadat korban adalah harus.
Dapat difahami daripada penjelasan ringkas di atas, adalah harus bagi seseorang yang hendak berkorban untuk melantik wakil pada membeli binatang korban dan juga harus melantik wakil pada menyembelih binatang korban, sekalipun bukan di negeri orang yang berwakil, iaitu orang yang hendak berkorban tadi. Bagaimanapun, dalam perkara berwakil hendaklah diberi perhatian dalam menjaga syarat-syarat ‘wakalah’ (perwakilan) agar ibadat yang dikerjakan sah dan sempurna menurut syarak.
2. Memindah daging korban ke negeri lain.
Apa yang dimaksudkan dengan memindahkan daging korban itu ialah memindahkan daging korban dari negeri tempat penyembelihannya ke negeri lain, supaya daging korban itu dibahagi-bahagikan atau diagih-agihkan kepada mereka yang berhak di negeri berkenaan.
Dalam perkara memindah daging korban, hukum mengenai keharusan perkara ini tergantung kepada jenis korban yang dilakukan. Perlu diketahui bahawa korban terbahagi kepada dua; korban wajib dan korban sunat. Korban menjadi wajib umpamanya dengan sebab dinazarkan atau korban yang dilaksanakan kerana menyempurnakan wasiat seseorang.
Secara ringkas, hukum memindah daging korban dari negeri tempat penyembelihannya ke negeri lain adalah seperti berikut:
1) Korban wajib
Dalam korban wajib, kesemua daging daripada binatang yang disembelih itu wajib disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah. Oleh itu, haram hukumnya memindahkan daging korban berkenaan daripada tempat sembelihan. Inilah pendapat jumhur ulama Syafi‘iyah.
Dapat difahami daripada penjelasan di atas bahawa daging daripada binatang korban wajib itu wajib diagihkan kesemuanya kepada golongan fakir dan miskin di negeri (tempat) di mana binatang korban itu disembelih.
2) Korban sunat
Dalam korban sunat pula, terdapat bahagian daripada daging korban itu yang sunat dimakan oleh orang yang berkorban atau dihadiahkan, dan terdapat bahagian yang wajib disedekahkan.
Hanya bahagian atau hak orang yang berkorban itu sahaja yang harus dipindahkan ke negeri lain. Manakala bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin wajib disedekahkan di tempat berkorban itu juga dan haram dipindahkan ke negeri lain.
Gambaran bagi masalah ini, seorang yang menyembelih korban sunat untuk dirinya di suatu negeri, maka adalah disunatkan baginya membahagi daging binatang korban tersebut kepada tiga bahagian seperti berikut:
A) Sepertiga (1/3) untuk disedekahkan kepada fakir miskin. Diwajibkan bagi orang yang berkorban untuk menyedekahkan sebahagian daripada daging korban sunat dalam keadaan mentah, iaitu tidak dimasak, kepada fakir dan miskin untuk dimiliki oleh golongan ini.
Bahagian ini wajib disedekahkan dan diagihkan kepada fakir miskin di negeri (tempat) binatang korban disembelih dan haram dipindahkan ke negeri lain.
B) Sepertiga (1/3) untuk dirinya sendiri.
Disunatkan bagi orang yang berkorban memakan sebahagian daripada sepertiga sembelihan korban sunatnya sebagai mengambil berkat. Malahan afdhal baginya memakan hati binatang tersebut kerana mengikut sunnah Rasulullah SAW.
C) Sepertiga (1/3) untuk dihadiahkan kepada orang kaya.
Disunatkan bagi orang yang berkorban menghadiahkan sebahagian daging korban sunatnya kepada orang kaya seperti ahli keluarga, saudara-mara, sahabat-handai dan seumpamanya dari kalangan orang Islam.
Maka bahagian (b) dan (c) ini adalah harus hukumnya jika daging korban itu dipindahkan ke negeri (tempat) lain.
Niat korban
Seperti yang diketahui, niat merupakan syarat sah korban. Niat korban sah dilakukan setelah masuk waktunya, iaitu dari terbit matahari dan kadar berlalu sembahyang sunat Hari Raya Adha dan dua khutbahnya yang ringkas.
Sekiranya seseorang itu menyembelih sendiri binatang korbannya, maka niat korban itu dilakukan ketika atau seiringan dengan penyembelihan binatang korban.
Bagaimanapun harus juga mendahulukan niat itu sebelum menyembelih mengikut pendapat yang ashah.
Bagaimana pula jika sekiranya korban itu disembelih oleh wakil orang yang berkorban?
Sekiranya seseorang itu mewakilkan kepada individu lain untuk menyembelih binatang korbannya, maka memadai orang yang berkorban itu sahaja yang berniat, sekalipun wakilnya itu tidak berniat ketika menyembelih binatang korban.
Namun jika sekiranya orang yang berwakil (orang yang hendak berkorban) sudah menyerahkan perkara niat korban kepada wakilnya, maka memadailah niat wakil tadi ketika menyembelih binatang korban, sekalipun penyembelihan korban dilaksanakan di luar negeri.
Menyentuh mengenai perkara berwakil korban di luar negeri, terdapat pendapat ulama yang mengatakan, hendaklah yang berwakil (orang yang berkorban) menyerahkan niat korban kepada wakil. Dan memadai juga jika niat itu dilakukan lebih awal; tidak seiringan dengan penyembelihan, iaitu ketika orang yang berwakil (orang yang berkorban) menyerahkan wakalah (perwakilan) kepada wakil.
Sebagai kesimpulan, menurut syarak seseorang yang ingin melakukan ibadat korban di suatu negeri bukan di negeri tempat dia berada hukumnya adalah diharuskan. Caranya ialah dengan membeli binatang korban di suatu negeri dan seterusnya menyembelihnya di tempat tersebut. Cara pembelian itu pula sama ada dilakukan sendiri oleh orang yang hendak berkorban itu atau dengan menggunakan perantaraan seperti melantik seorang wakil dan menyerahkan wang kepadanya untuk menguruskan pembelian dan seterusnya pelaksanaan penyembelihan binatang korban di luar negeri.
Selain itu, jika seseorang itu berhasrat untuk memindahkan daging binatang korban dari tempat binatang itu disembelih ke negeri lain, maka ada bahagian yang haram dipindahkan ke negeri lain, iaitu bahagian yang wajib disedekahkan kepada golongan fakir miskin. Menurut syarak, bahagian ini wajib diagihkan kepada golongan yang berhak di negeri (tempat) di mana binatang korban itu disembelih.
Manakala bahagian yang selebihnya, umpamanya bahagian yang sunat dimakan oleh orang yang berkorban itu sendiri dan bahagian yang sunat dihadiahkan kepada golongan kaya, seperti ahli keluarga dan sahabat handai dari kalangan orang Islam, hanya bahagian ini sahaja yang diharuskan untuk dipindahkan ke negeri (tempat) lain.