TORKHAM – Bersandar di pangkuan ibu, dengan lalat di hidungnya, seorang anak damit tidak lena tidur dalam khemah di sebuah kem perbatasan yang tandus ketika keluarganya sedang bersiap untuk meninggalkan tempat persinggahan tersebut bagi membina semula kehidupan mereka di Afghanistan.
Di kem transit di Torkham telah pun dikosongkan, di mana orang yang diusir dari Pakistan berpeluh ketika cuaca panas terik dan menggigil sepanjang malam, banyak khemah di kaki gunung berbatu dibina.
Lori-lori yang sarat dengan beberapa buah keluarga, membawa kusyen, selimut berwarna terang dan peralatan dapur, bersedia untuk pergi.
Pegawai sempadan berkata kira-kira 210,000 warga Afghanistan, termasuk yang telah hidup berpuluh tahun, telah melalui sempadan Torkham sejak Pakistan mengarahkan mereka yang tidak mempunyai dokumen untuk meninggalkan Pakistan.
Dari kem penerimaan, mereka telah bersurai ke pelbagai wilayah Afghanistan dengan pemberian kira-kira AS$205, cukup untuk menyara keluarga mereka selama sebulan.




“Kami tidak mempunyai tempat untuk pergi, kami tidak mempunyai rumah, atau tanah, saya tidak mempunyai kerja,” kata Sher Aga, bekas pengawal keselamatan di Pakistan.
Dia memasukkan sembilan orang anaknya dan semua harta benda keluarganya ke dalam trak untuk menuju ke utara, wilayah Kunduz, tempat dia dilahirkan.
Tetapi lelaki berusia 43 tahun itu sudah lupa tentang tanah airnya setelah sekian lama meninggalkan Afghanistan ketika dia berusia lima tahun.
“Saya tidak mempunyai keluarga di sana lagi,” katanya kepada AFP.
Anak-anak saya bertanya kepada saya, ‘Negara mana yang kita akan pergi?’
Dalam khemah, Amina yang berusia 40 tahun, menutup mukanya dengan tudung merah. Dia, suaminya dan 10 orang anak -anak mereka berteduh di khemah tersebut.
Mereka ditakdirkan untuk hidup di Jalalabad, ibu kota wilayah Nangarhar di Torkham dan di mana dia mempunyai ramai saudara lelaki.
‘Saya meminta keluarga saya mencarikan rumah untuk kami’ untuk disewa, dia berkata, ‘tetapi mereka mengatakan tidak ada’.
“Tiada sesiapa yang menghubungi kami atau datang berjumpa kami,” tambahnya.
Di Pakistan, anak-anak lelakinya bekerja menjual sayur-sayuran atau memandu beca untuk mendapatkan wang yang cukup bagi menyara keluarga, tetapi Amina bimbang akan kehidupan mereka di Afghanistan, yang dilanda krisis ekonomi dan pengangguran.
“Jika budak-budak itu tidak bekerja, kami tidak dapat bertahan untuk menyara kehidupan seharian.”
Satu lagi khemah berdekatan dipenuhi dengan 16 orang ahli keluarga Gul Pari, yang tidur di atas kotak kadbod tanpa selimut sejak tiba di kem transit tersebut.
Suaranya ditenggelamkan oleh bunyi hon lori tangki yang menghantar air, yang sangat diperlukan di kem itu, di mana kumpulan kanak-kanak ketawa, berkaki ayam berpaut di belakang.
Nenek berusia 46 tahun yang sedang membuai cucunya yang berbadan kurus di atas pangkuannya berkata, dalam tempoh lima hari mereka akan berlepas ke Kunduz untuk memulakan kehidupan baharu di negara yang tidak pernah dilihatnya sejak 40 tahun lalu.
“Kami takut kelaparan. Tetapi jika kami mencari kerja, ia akan menjadi baik. Kami akan gembira di tanah air kami sendiri. Di Pakistan, kami diganggu,” katanya.
Kebanyakan mereka yang kembali ke negara itu adalah mereka yang telah melarikan diri dari Afghanistan semasa dilanda konflik selama beberapa puluh tahun, tetapi pertempuran itu berakhir sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021 dan telah menggalakkan mereka untuk kembali.
Amanullah dan keluarganya terkandas di kem sementara di wilayah jiran Laghman, tidak mempunyai tempat lain untuk dituju di Afghanistan.
Di tengah-tengah belasan khemah Bulan Sabit Merah, lelaki berusia 43 tahun itu, yang telah tinggal 35 tahun di Pakistan berkata, kehidupan di kem itu sukar baginya, termasuk isteri dan enam orang anak mereka.
“Tidak ada tandas,” kata bekas pekerja pembinaan itu dan wanita mengalami masa yang sangat sukar kerana mereka perlu menunggu sehingga larut malam untuk keluar bagi melepaskan diri dalam kumpulan demi keselamatan.
Hampir tidak ada elektrik sama sekali.
‘Semua khemah gelap’ sebaik sahaja malam tiba, katanya sambil mengangkat lampu suluh merah kecil.
“Kami mempunyai anak kecil, jadi kami mempunyai banyak kesusahan,” katanya, sambil menambah semua anaknya bersekolah di Pakistan, tetapi dia bimbang untuk masa depan mereka sekarang.
“Jika kita tinggal di sini selama lima hari, sebulan, setahun, ia boleh menjadi baik, tetapi kita memerlukan kerja, rumah… kita bermula dari kosong.”
Dalam perjalanan ke Jalalabad, Shazia dan 20 orang wanita serta kanak-kanak yang lain menaiki sebuah trak kecil dengan perjalanan yang tidak menentu ketika ia membelok di selekoh jalan, hingga menyebat burka biru wanita yang bersandar di sekeliling timbunan bekas yang terumbang-ambing.
Daripada kebanyakan orang Afghanistan yang pulang dari Pakistan, dia boleh dianggap lebih bertuah kerana suaminya pergi mendahului mereka ke Jalalabad dan menemukan rumah yang mempunyai empat buah bilik untuk disewa bagi empat buah keluarga.
“Sewanya mahal,” kata ibu kepada tiga orang anak berusia 22 tahun itu, anak bongsunya baru berusia dua bulan.
“Tetapi malam ini kita akan dapat tidur lena”. – AFP

