Selepas dua minggu dalam keadaan tidak sedarkan diri, penyanyi Malaysia era 80an, Ibnor Riza menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3:30 petang pada Ahad.
Ibnor atau Ibnor Riza Ibrahim, 62, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM).
Pemergian Allahyarham dimaklumkan rakan penyanyi iaitu Salwa Abd Rahman menerusi Instagram miliknya.
“Sahabatku sudah tiada. Semoga arwah tenang dan damai di sana dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” tulisnya.
Sementara itu, isteri Ibnor, Sarimah Sualiman, 51, ketika dihubungi mStar turut mengesahkan perkara itu dan memberitahu jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk proses pengebumian di HCTM.
Sarimah memaklumkan jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Negeri Sembilan.
Pada 2 Disember lalu, Ibnor menjalani pembedahan di HCTM bagi membuang air di bahagian kanan kepala susulan kanser limfoma dihadapinya sudah merebak ke bahagian otak.
Allahyarham bagaimanapun tidak sedarkan diri selepas pembedahan dijalankan.
Rabu lalu, Ibnor sekali lagi menjalani pembedahan susulan terdapat pendarahan pada bahagian kepalanya.
Keadaan Ibnor juga masih sama malah Sarimah ketika dihubungi memaklumkan suaminya berada dalam keadaan kritikal.
Pada 19 Februari lalu, Ibnor tiba-tiba diserang pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, tahap kolesterol tinggi, buasir, darah tinggi dan migrain teruk.
Dia mendapat tahu tentang kanser itu selepas melakukan pemeriksaan doktor susulan mengalami bengkak pada lehernya. – Agensi